Oleh Muhammad Syahmi Abdul Halim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 27 Januari 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan berjumlah RM550,000 daripada Etiqa General Takaful Berhad dalam memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang antara institusi pendidikan dan sektor korporat dalam menjayakan agenda kebajikan, pendidikan dan pembangunan komuniti.
Timbalan Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali merakamkan penghargaan atas kepercayaan berterusan Etiqa dan menegaskan peranan UKM sebagai rakan strategik industri dalam melaksanakan inisiatif kebajikan dan pendidikan berasaskan kepakaran dan penyelidikan.
“Kerjasama UKM bersama Etiqa General Takaful ini juga merupakan contoh kolaborasi strategik jangka panjang yang berpaksikan nilai amanah, kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kerjasama ini mencerminkan keselarasan nilai antara universiti dan industri dalam menyampaikan impak sosial yang berterusan.
“Model kerjasama ini membuktikan keupayaan UKM mengoptimumkan kepakaran universiti untuk memenuhi aspirasi CSR industri secara mampan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Takaful Berhad, Faiezy Hasnan berkata kerjasama bersama UKM membolehkan sumbangan Etiqa disalurkan secara lebih berfokus dan mampan, dengan impak yang jelas kepada masyarakat dan pendidikan.
Sumbangan tersebut merangkumi dana amal jariah bagi pembinaan telaga tiub serta bantuan pelajaran melalui dana dermasiswa dan zakat UKM, yang akan dimanfaatkan untuk pembinaan telaga tiub di Sekolah Kebangsaan Bangi dan Masjid Darul Tahsis, Kampung Melayu, Pulau Carey, selain membantu pelajar UKM daripada latar belakang sosioekonomi yang memerlukan.
Pelaksanaan projek ini akan disokong oleh kepakaran akademik UKM bagi memastikan penyediaan bekalan air bersih yang selamat dan berkualiti untuk kegunaan jangka panjang komuniti setempat.
Antara kepakaran yang digunakan untuk projek dana ini adalah seperti hidrogeologi, geofizik penjelajahan, kualiti air, pemodelan air bawah tanah dan lain-lain.
Majlis Penyerahan Sumbangan Etiqa-UKM ini adalah kerjasama lanjutan antara Etiqa dan UKM, susulan pelaksanaan program komuniti pada tahun 2023 di Balai Raya Kampung Labu Lanjut serta sumbangan wakaf peralatan kesihatan kepada Pusat Kesihatan UKM.
Kerjasama ini juga merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Zakat Korporat tahunan Etiqa bersama UKM, yang memberi penekanan kepada kebajikan masyarakat dan pembangunan modal insan secara berterusan.
Majlis yang diadakan ini diharap dapat terus memperkukuh sinergi strategik antara UKM dan Etiqa, sekali gus memposisikan kedua-dua pihak sebagai rakan kolaborasi berwibawa dalam menyampaikan manfaat berimpak tinggi kepada masyarakat dan negara.
Pada majlis itu, cek cura berjumlah RM300,000 diserahkan bagi pembinaan dua buah telaga tiub, dan RM250,000 diserahkan untuk bantuan kebajikan dan sokongan kewangan pelajar UKM.
