Oleh Dr. Nor Haslina Ja’afar, Pensyarah di Jabatan Seni Bina & Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti kebangsaan Malaysia (UKM)
Kyoto bermaksud ‘ibu kota’ merupakan bekas ibu negara Jepun dan bandar diraja sebelum fungsi tersebut berpindah ke Tokyo. Bandar ini dibangunkan pada Zaman Heian sekitar tahun 794 Masihi dengan nama asal Heian-kyō. Perancangan bandar Kyoto menggunakan susun atur grid yang merujuk kepada model bandar Chang’an di China, selari dengan pengaruh sistem pentadbiran, budaya istana dan undang-undang China terhadap Jepun pada ketika itu.
‘Kyo-machiya’
Di bandar Kyoto dapat dilihat keunikan bangunan warisan ‘Kyo-machiya’ yang membentuk karakter bandar tersebut. Apakah ‘Kyo-machiya’? Kyo-machiya merujuk kepada rumah bandar tradisional kayu yang dibina sebelum Perang Dunia Kedua dan terletak di Kyoto. Ia berfungsi sebagai gabungan ruang kediaman dan perniagaan, dengan ciri lot sempit di bahagian hadapan dan memanjang ke belakang. Dari segi bahan dan seni bina, Kyo-machiya diperbuat daripada kayu, berbumbung genting, serta mempunyai ketinggian antara satu hingga tiga tingkat. Kebiasaanya bangunan ini adalah sempit di hadapan jalan dan memanjang ke belakang. Ia adalah gabungan di antara ruang penginapan dan perniagaan.
Dalam kata yang mudah difahami di dalam konteks Malaysia, konsepnya adalah kombinasi di antara warisan rumah kedai dan rumah melayu. Rumah kedai merujuk kepada bentuk kyo-machiya yang dibina secara berteres di bandar, dengan ketinggian dua tingkat amnya, merupakan kombinasi penginapan dan perniagaan. Manakala warisan rumah Melayu pula merujuk kepada penggunaan bahan kayu sebagai binaan utama.
Namun ‘Kyo-machiya’ turut mengalami masalah dengan kepesatan perbandaran. Sejak awal abad ke 20, banyak bangunan warisan tersebut telah hilang. Walaupun tiada statistik sebenar, namun kehilangan ini dari awal abad ke 20 sehingga tahun 2000 dianggarkan dalam 40 peratus. Ia satu angka yang signifikan dan memberi kesan terhadap perubahan landskap bandar Kyoto. Ada beberapa faktor menyebabkan kehilangan bangunan warisan ini. Antaranya adalah pembinaan bangunan pencakar langit, kesukaran menjaga ‘Kyo-machiya’ kerana bahan bangunannya dari kayu dan banyak perubahan dilakukan sehingga hilangnya identity warisan seni binanya.
‘Kyoto Center for Community Collaboration’
Persoalannya, bagaimana Kyoto menjaga ‘kyo-machiya’ mereka? Satu temu bual telah dijalankan bersama saudara Takeshi Izutan yang merupakan Pengurus Pentadbiran di ‘Kyoto Center for Community Collaboration’ (KCCC). KCCC merupakan organisasi ‘non-profit’ atau inisiatif berasaskan komuniti. Ia menjadi penghubung di antara penduduk setempat dan golongan profesional, pihak perbandaran serta peniaga/ pemaju. Tujuannya adalah untuk meghasilkan landskap bandar Kyoto yang lebih baik untuk komoniti. Banyak usaha dilakukan untuk memastikan Kyoto kekal sebagai Kyoto. Salah satunya adalah memelihara ‘kyo-machiya’ dan ini memerlukan penjanaan kewangan.
Bagi memastikan kelangsungan ‘kyo-machiya’, KCCC telah menubuhkan dana Machizukuri sebagai sebuah platform untuk menerima dan mengurus pelbagai bentuk sumbangan. Dana ini disokong melalui pelbagai kaedah, termasuk derma awam menerusi transaksi dalam talian dan penggunaan kad kredit, serta kerjasama dengan sektor swasta. Sebahagian hasil jualan produk tertentu, mesin layan diri terpilih dan makanan warisan Kyoto turut disalurkan ke dalam dana ini. Pendekatan ini membolehkan masyarakat dan sektor swasta terlibat secara langsung dalam usaha pemeliharaan ‘kyo-machiya’. Dana Machizukuri juga berfungsi menyokong pemuliharaan serta ‘adaptive reuse’ ‘kyo-machiya’. Menurut KCCC, pemeliharaan ’kyo-machiya’ memberi keutamaan kepada pengekalan imej luaran bangunan bagi memastikan kesinambungan landskap bandar, manakala ruang dalaman dan fungsi bangunan dibenarkan berubah melalui pendekatan ‘adaptive reuse’. Pendekatan ini membolehkan ‘kyo-machiya’ terus digunakan tanpa menjejaskan identiti warisan bandar Kyoto. Objektifnya adalah supaya warisan landskap bandar Kyoto dapat dipelihara tanpa menghalang perubahan kehidupan moden. Ini untuk menggelakkan perobohon ‘Kyo-machiya’ atau dibiarkan begitu sahaja.
Di samping itu, KCCC juga menyediakan perundingan berkaitan ‘kyo-machiya’ kepada pemilik bangunan menerusi ‘Dana Machizukuri’. Antaranya menyediakan maklumat yang diperlukan untuk menangani isu berkaitan penyelenggaraan ‘kyo-machiya’ dan mendidik orang awam tentang kepentingan pemeliharaan legasi bangunan ini. KCCC juga menyediakan sokongan professional dalam bentuk ejen hartanah, arkitek dan tukang kayu.
KCCC juga telah memacu mewujudkan kemudahan pinjaman bank khusus untuk pemuliharaan dan renovasi ‘kyo-machiya’. Ia adalah hasil usaha kerjasama dengan KCCC, Kerajaan bandar Kyoto dan institusi kewangan. Jumlah maksima pinjaman adalah berbeza-beza mengikut bank. Antara bank yang terlibat adalah Bank of Kyoto, Kyoto Chuo Shinkin Bank dan Kyoto Shinkin Bank.
Refleksi
Pengalaman Kyoto menunjukkan bahawa pemeliharaan landskap bandar tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata. Ia memerlukan penglibatan masyarakat secara kolektif bagi memupuk rasa kepunyaan dan kesedaran terhadap nilai warisan. Pendekatan ini wajar difikirkan dalam konteks Malaysia agar rumah tradisional dan bangunan warisan tidak sekadar menjadi bahan pameran di muzium, tetapi terus hidup sebagai sebahagian daripada persekitaran bandar mahupun penempatan seperti kampung.

Antara contoh ‘kyo-machiya’ yang dijaga pada hari ini.

Gaya ‘kyo-machiya’ yang biasa dijumpai.

Perkongsian dari KCCC berkenaan Kyoto dan program yang dijalankan oleh mereka.
