Fakulti Pendidikan Perkukuh Pendidikan AI dalam Pendidikan Tinggi

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 19 Mac 2025 – Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  menjalin kerjasama dengan QuantumX Solutions bagi memperkukuh bidang kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tinggi melalui pemeterian Surat Hasrat (LoI) yang ditandatangani baru-baru ini.

Dokumen LoI itu ditandatangani oleh Dekan Fakulti Pendidikan, Prof Dr Mohd Mahzan Awang yang mewakili UKM, manakala QuantumX Solutions diwakili oleh Pengarahnya, Dr Alexander Schmidt. Pemeteraian LoI ini disaksikan oleh Pro-Naib Canselor (Penjanaan & Prasarana), Prof Sr Ts Dr Adi Irfan Che Ani dan Pengarah Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Prof Dr Sufian Jusoh.

Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak bakal mengadakan aktiviti penyelidikan dan penerbitan secara bersama, mengadakan program pembangunan profesional dan bertukar ilmu dan kepakaran.

Pemeteraian LoI itu diadakan sempena AI in Higher Education Conference 2025 (Persidangan AI dalam Pendidikan Tinggi 2025), yang diadakan di Fakulti Pendidikan. Persidangan yang diadakan dengan kerjasama IKMAS ini bertujuan untuk mengumpul pembuat dasar, pendidik, penyelidik, dan pemain industri bagi meneroka peranan transformasi AI dalam pendidikan tinggi.

Prof Sr Ts Dr Adi Irfan dalam ucapannya berkata melalui persidangan itu, setiap peserta dapat bertukar pandangan tentang kesan mendalam mengenai teknologi AI pada landskap pendidikan terutamanya masa depan pengajaran, pembelajaran dan pembangunan bakat di institusi pengajian tinggi.

“Potensi transformatif AI bukan sahaja dalam meningkatkan kaedah pendidikan, tetapi juga dalam membentuk tenaga kerja dan ekonomi secara amnya.

“Ia selaras dengan aspirasi UKM sebagai sebuah institusi yang menerajui pendidikan dan penyelidikan yang mengintegrasikan AI untuk pembangunan negara,” katanya.

Persidangan AI dalam Pendidikan Tinggi 2025 merupakan satu platform untuk perkongsian pengetahuan dan kerjasama, serta menyediakan peluang untuk memperkasa dasar pendidikan dan membina hubungan penyelidikan dengan pelbagai pihak termasuk kementerian, industri dan agensi-agensi yang relevan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memposisikan Fakulti Pendidikan dan IKMAS sebagai peneraju dalam pendidikan berteraskan AI, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Leave a Reply