Hanya 33 Peratus Calon SPM 2025 Lulus Saringan Kesihatan Mental Normal

Oleh Dr. Nur Aqillah Ayob, Pelajar Sarjana UKM-GSB

Di Malaysia, salah satu isu yang semakin membimbangkan adalah kegagalan akademik dalam kalangan pelajar, terutama dengan cabaran perkembangan teknologi dan pengaruh media sosial masa kini. Laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 telah menunjukkan hampir 75 peratus calon SPM hanya sekadar lulus atau gagal. Manakala hampir 10,000 orang calon SPM 2024 telah dilaporkan tidak hadir ke peperiksaan bersejarah itu.  Ini menimbulkan kebimbangan kesan jangka panjang terhadap sumber manusia kerana kumpulan terbabit tiada kelayakan minimum ke institusi pengajian tinggi (IPT) terutama dalam program ikhtisas antaranya perubatan, kejuruteraan atau teknologi maklumat.

Tambahan lagi, data dari tahun-tahun sebelum itu juga menyokong kebimbangan ini apabila KPM memaklumkan ramai calon lepasan SPM tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Untuk SPM 2020 dan SPM 2021 sahaja, jumlah tersebut mencecah hampir 300,000 ribu calon iaitu lepasan SPM 2020 adalah seramai 115,939 orang (35.16 peratus), manakala lepasan SPM 2021, seramai 180,680 orang (48.74 peratus).

Selain prestasi akademik yang merosot, kesihatan mental pelajar juga semakin terkesan, memberikan impak yang besar terhadap kesejahteraan mereka. Menyedari hakikat ini, kumpulan pelajar program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang diketuai oleh Dr. Nur Aqillah Ayob, seorang pegawai perubatan dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, di bawah diselia Dr. Ngan Sue Lin menjalankan projek yang menggabungkan kedua-dua elemen akademik dan kesihatan mental di sekolah-sekolah pilihan.

Menghadapi Cabaran Kegagalan Akademik dan Kesihatan Mental

Salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh pelajar di sekolah-sekolah ini adalah kegagalan dalam subjek teras SPM, dan saringan mendapati, tekanan pembelajaran turut berkait rapat dengan isu kesihatan mental. Dalam saringan kesihatan mental yang dijalankan ke atas 134 pelajar dari pelbagai latar belakang (luar dan dalam bandar), hasilnya amat mengejutkan. Hanya 33 peratus pelajar mempunyai kesihatan mental yang normal, sementara 60 peratus pelajar mengalami gejala mild anxiety, stress, atau depression. Lebih membimbangkan, 30 peratus pelajar mengalami simptom yang teruk dan sangat teruk, dengan 12 peratus memerlukan intervensi profesional dan 4 peratus telah mencuba membunuh diri atau mempunyai ideasi untuk mencederakan diri sendiri.

Angka-angka ini menunjukkan betapa seriusnya masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar, yang semestinya mempengaruhi prestasi akademik mereka.

Implikasi Positif Program terhadap Pelajar

Namun, melalui program yang telah dilaksanakan, para pelajar ini telah menunjukkan impak yang sangat positif. Aktiviti-aktiviti yang dirancang telah memberikan mereka peluang untuk berkembang dalam pelbagai aspek. Secara statistik, terdapat peningkatan yang signifikan dalam keyakinan diri mereka, kesedaran tentang perancangan kerjaya, status sosial, dan kestabilan kewangan selepas tamat pengajian. Pelajar-pelajar turut mengakui bahawa sesi kaunseling dan saringan kesihatan mental yang dijalankan sepanjang program telah membantu mereka memahami lebih lanjut tentang kepentingan menjaga kesihatan mental.

Aktiviti dan Pendekatan yang Dijalankan

Antara aktiviti utama yang dijalankan dalam program ini adalah pertandingan akademik Explorace, yang merangkumi lima subjek teras SPM iaitu Bahasa Melayu, Sains, Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sejarah. Selain itu, program ini juga turut menyediakan Career Pathway Guidance yang memberi pelajar peluang untuk berbincang dengan sukarelawan mengenai pilihan jurusan dan kerjaya, syarat-syarat kemasukan ke universiti, serta kehidupan di universiti. Sesi kaunseling face-to-face yang disediakan oleh sukarelawan membantu pelajar membuat keputusan yang tepat untuk masa depan mereka.

Membina Masyarakat yang Lebih Sihat dan Produktif

Program ini bukan sahaja bertujuan untuk memulihkan prestasi akademik pelajar, tetapi juga untuk memperbaiki kesejahteraan mental dan sosial mereka. Dengan pendekatan yang lebih holistik, program ini diharap dapat membentuk generasi yang lebih sihat, lebih produktif, dan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

Dengan sokongan dari pihak-pihak yang prihatin, lebih ramai pelajar yang berisiko dapat dibantu, seterusnya mengurangkan kadar kegagalan akademik dan meningkatkan potensi tenaga kerja negara. Antara penyumbang utama bagi program ini termasuk Yayasan Pahang, TMJ Mesra Travels, & Tours, Pembina Trading & Services, Al Fateh Printing & Trading Sdn. Bhd. diikuti oleh NGO yang terlibat iaitu MyFundAction, Anjung Budi,  i-Medik Pahang, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (PMFST) UKM serta kerjasama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Masa Depan Program dan Keperluan Sokongan

Melihat kepada kejayaan yang telah dicapai, pelajar-pelajar sarjana dari UKM-GSB ini yakin program ini dapat diteruskan dan diperluas ke lebih banyak sekolah dan negeri. Untuk memastikan kesinambungannya, mereka membuka ruang kerjasama bagi masa hadapan dari rakan kerjasama yang berminat untuk membangun dan memperluas program ini. Rancangan untuk melaksanakan program seterusnya dijangka akan berlangsung pada penghujung tahun 2025 atau awat tahun 2026.

Dengan sokongan pelabur, program ini berpotensi untuk memberikan impak yang lebih besar dalam membentuk generasi muda yang lebih sihat dan berjaya. Program ini juga memberi peluang kepada syarikat dan organisasi untuk menunjukkan komitmen mereka dalam membangunkan kesejahteraan sosial dan menyokong pembangunan generasi akan datang serta  menonjolkan diri sebagai entiti yang prihatin terhadap kesejahteraan generasi muda.

Dalam menghadapi dunia yang semakin kompleks, generasi muda perlu dilengkapi bukan sahaja dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga kemahiran untuk mengurus emosi, menjaga kesihatan mental, dan membina daya tahan terhadap cabaran hidup. Semoga generasi ini dapat mengharungi cabaran yang dihadapi kerana merekalah yang bakal menjadi tonggak kemajuan negara, berbakti kepada masyarakat, dan menyumbang ke arah pembangunan negara yang lebih gemilang dan sejahtera di masa hadapan.

Leave a Reply