Fakulti Perubatan Iktiraf Kejayaan Warga

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

29 Julai 2023 – Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghargai dan mengiktiraf sumbangan warga fakulti dalam pelbagai bidang melalui Majlis Anugerah Sanjungan Kencana.

Majlis anugerah yang diadakan buat kali ke empat ini mempertandingkan 27 kategori anugerah, termasuk dua anugerah khas kepada pelajar perubatan, telah diberikan dengan jumlah wang keseluruhan sebanyak RM25,800.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak dalam ucapannya berkata, pencapaian dan kejayaan yang dicapai oleh warga fakulti ini telah berjaya melonjakkan nama Fakulti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sebagai seorang alumni Fakulti Perubatan, beliau menyaksikan sendiri perkembangan fakulti yang telah mencapai usia matangnya iaitu 52 tahun pada tahun ini.

“Saya berkesempatan untuk terlibat secara khusus dalam pembangunan dan perkembangan di Fakulti Perubatan. Saya melihat inisiatif fakulti untuk meraikan pemenang anugerah pelbagai kategori pada hari ini sebagai salah satu terjemahan terhadap Tujuh Tekad Melakar Kemaraan UKM 2023.

“Peningkatan Kecemerlangan Kakitangan adalah antara agenda utama UKM pada tahun 2023. Fakulti Perubatan telah terkehadapan dalam usaha meningkatkan kecemerlangan warganya dengan penganjuran Anugerah seperti ini,” katanya.

Beliau berharap agar anugerah ini bukan sahaja dilihat sebagai satu pengiktirafan, tetapi, sebagai penggerak dan peneraju kepada perubahan positif dalam membudayakan kecemerlangan di tempat kerja. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa; Prof. Dr. Mohammad Kassim; Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid; Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor; dan Prof. Madya Dr. Hanita Othman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi & Sokongan) Pemangku Pengarah HCTM.

Leave a Reply