Semak Fakta Melalui JomCheck

Oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

KUALA LUMPUR — JomCheck, koalisi semakan fakta yang menggabungkan ahli akademik, media dan masyarakat awam bersedia untuk menjalankan semakan fakta dan mengesahkan kesahihan sesuatu maklumat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Gabungan yang ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 Malaysia (PRU15) telah berjaya mengesahkan fakta berdasarkan maklumat yang dihantar oleh orang awam ke talian mereka menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Sekretariat JomCheck, Prof Madya Dr Sabariah Mohamed Salleh berkata mereka telah menerima lebih 120 maklumat daripada orang awam sepanjang pilihan raya ke-15, yang melibatkan perkara seperti keselamatan, ekonomi, politik, maklumat awam, sentimen agama dan perkauman.

“Terdapat potensi yang tinggi bahawa isu-isu ini juga akan dimanifestasikan semasa PRN kerana calon dan penyokong mereka cenderung untuk menerbitkan banyak bahan promosi diri, berkongsi manifesto masing-masing dan melemparkan kritikan terhadap calon lawan, sebagai sebahagian daripada strategi berkempen.

“Bagaimanakah kita boleh memastikan maklumat yang dikongsi adalah betul? JomCheck memainkan peranan penting dalam hal ini. Kami berhasrat untuk memerangi penyebaran maklumat palsu dengan efektif melalui usaha semakan fakta kami bersama rakan kongsi kami dalam media, akademia dan masyarakat awam,” kata Sabariah yang merupakan pensyarah kanan Pusat Penyelidikan dalam Media dan Komunikasi (MENTION), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Di samping itu, beliau menyatakan bahawa keadaan di media sosial amat membimbangkan kerana ia seringkali bertindak sebagai medium penyebaran bagi maklumat tidak berasas dan mengelirukan.

“Platform seperti Tiktok, Instagram dan Twitter memudahkan orang ramai untuk mencari maklumat dan mencipta kandungan, tetapi kemudahan ini juga menunjukkan betapa cepatnya maklumat palsu boleh tersebar.

“Sekiranya maklumat palsu disebarkan, orang ramai akan menerima maklumat tidak tepat, yang berpotensi mempengaruhi keputusan mereka,” jelasnya.

Oleh itu, katanya, adalah penting untuk memiliki kemahiran literasi media sosial serta keupayaan menyemak fakta untuk membezakan antara maklumat yang benar dengan yang palsu.

“Walaubagaimanapun, terdapat banyak maklumat di luar sana yang tidak dapat disahkan kerana ia berbentuk tuduhan, pendapat, atau propaganda. Di sinilah anda boleh menghubungi JomCheck untuk mendapatkan penjelasan dan pembetulan sesuatu maklumat,” tambahnya.

Leave a Reply