Fakulti Undang-Undang Lancar Inovasi Pertama Gabungan Bib dan Tudung

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 22 Julai 2022 – Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) julung kalinya melancarkan projek inovasi pertama iaitu Hijabbib, yang merupakan gabungan antara hijab (tudung) dan bib untuk digayakan oleh peguam wanita muslimah.

Ketua penyelidik, Dr Saidatul Nadia Abd Aziz berkata Hijabbib direka khas oleh kumpulan penyelidikkannya selepas melihat keciciran bib yang sering dialami oleh peguam wanita apabila menghadiri prosiding mahkamah.

“Sebenarnya saya adalah peguam sebelum menjadi ahli akademik dan kerap kali tertinggal bib semasa menghadiri perbicaraan.

“Bila kita duduk berbincang dengan Prof Madya Dr Shahrul Mizan Ismail dan Dr Mohd Zamre Mohd Zahir, maka tercetuslah idea untuk menggabungkan bib ini dengan tudung supaya ia boleh disarungkan terus tanpa perlu banyak lapis.

“Jadi, tidak timbul lagi isu peguam tertinggal bib di rumah jika menggunakan Hijabbib ini,” katanya selepas majlis Pelancaran Hijabbib, baru-baru ini.

Majlis itu adalah kerjasama antara Pusat Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKM™) dan Fakulti Undang-Undang.

Dr Saidatul Nadia berkata Hijabbib juga mempunyai ukuran tertentu yang mengikut piawaian profesion guaman.

“Walaupun menggabungkan tudung, bib dan selendang, istimewanya penghasilan Hijabbib ini adalah menggunakan kain premium yang sejuk dan mudah gosok, sesuai dengan ketrampilan seorang peguam Muslimah,” katanya.

Tambah beliau, revolusi fesyen tudung dua dalam satu itu bukan sahaja sesuai dipakai ketika di mahkamah, tetapi juga boleh digayakan untuk kegunaan harian.

“Hijabbib menawarkan tiga kaedah pemakaian unik yang boleh digunakan day in, day out di luar mahkamah dan ia juga adalah patuh syariah.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Wan Kamal Mujani berkata pelancaran Hijabbib itu adalah sangat membanggakan kerana ia bukan sahaja yang pertama seumpamanya, tetapi berjaya memperoleh anugerah khas perintis inovatif dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan MyRA®2022. “Pihak universiti berharap dengan pelancaran produk inovasi Hijabbib ini, lebih ramai lagi penyelidik akan turut sama dalam memberi sokongan dan komitmen untuk bersama-sama meningkatkan lagi kesedaran warga penyelidik UKM terhadap peranan menghasilkan produk yang berinovasi tinggi dan kompetitif dalam pasaran,” katanya.

Leave a Reply