Alumni UKM Bantu Mangsa Banjir Baling

15 Julai 2022 – Tragedi banjir lumpur di Baling, Kedah menarik perhatian semua alumni Universiti Kebangsaan Malaysia untuk turut sama menyumbang kepada mangsa banjir. Justeru, Pusat Perhubungan Alumni telah membuka tabung Misi Bantuan Kasih 11,0 Baling untuk memboleh alumni, warga dan sahabat UKM turut serta menyumbang kepada misi bantuan ini. Daripada kutipan tersebut, Pusat Perhubungan Alumni UKM telah berjaya menyediakan sebanyak 300 kotak barangan keperluan harian termasuk beras, minyak dan air mineral untuk diagihkan kepada penduduk kampung disekitar SMK Jerai, SMA Yayasan Khairiah, Surau An-Nur, Kampung Banggol Chicar Kupang dan Kampung Tanah Periuk yang terkesan dengan banjir. Seramai 20 orang sukarelawan yang terdiri daripada alumni dan warga UKM telah terlibat dan sebanyak RM22K telah diperuntukkan untuk menjayakan misi ini. Misi Bantuan Kasih ini merupakan kumpulan kedua delegasi UKM ke Baling untuk membantu serta menghantar bantuan selepas kumpulan pertama iaitu Misi Bantuan Banjir UKM yang terdiri daripada para mahasiswa dan kakitangan universiti.

Prof  Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM berkata, ‘W.A.T.A.N merupakan istilah keramat yang sangat berpengaruh pada masa kini dan ia menentukan halatuju sesebuah universiti dan fokus keberhasilannya; seperti graduan yang kompeten dan berjiwa WATAN, hasil penyelidikan yang berimpak serta bercirikan WATAN dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan warganya juga berorientasikan WATAN. Semuanya berpaksikan kepada kesejahteraan masyarakat sebagai agenda utamanya. Misi Bantuan Kasih merupakan salah satu bukti aspirasi WATAN ini dan kami yakin melalui prakarsa-prakasa hebat yang dianjurkan oleh UKM melalui naratif baru UNIVERSITI WATAN KITA ini, UKM akan melonjak kecemerlangan sebagai sebuah universiti yang terbaik di negara ini. Bukan sahaja digeruni tetapi juga dihormati. Bukan sahaja menang di mata dunia tetapi juga dihati masyarakat.

UKM mempunyai hutang jasa dan keringat yang besar kepada masyarakat kerna ianya tertubuh atas desakan dan aspirasi rakyat yang ingin memartabatkan bahasa Melayu dan berpegang teguh kepada jatidiri Kebangsaan. Selagi Menara Gading ini tegak berdiri di bumi Bangi selagi itulah hutang itu perlu dilangsaikan, katanya lagi. Setinggi penghargaan diucapkan kepada semua pengurusan tertinggi UKM khususnya Prof Madya Dr Mohd Suzeren Md Jamil,  Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Dato Dr Syed Kamarudin, Pendaftar UKM, Prof Dato Ir Dr Wan Hamidon Wan Badaruzaman, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dan Dr Sofwan Mahmud yang mewakili Dekan Fakulti Pendidikan yang hadir ke Majlis Pelepasan Misi Bantuan Kasih 11.0 Baling yang berlangsung di Canselori UKM.

Leave a Reply