Fakulti Undang-Undang UKM Juara Jessup Moot 2024 Peringkat Kebangsaan

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Fakulti Undang-Undang

BANGI, 25 Mac 2024 – Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan juara Pertandingan Philip C Jessup International Law Moot Court Competition 2024 peringkat kebangsaan.

Pasukan moot ini dianggotai lima pelajar sarjana undang-undang iaitu Raihaana Azmi, Choong Yuk Lim, Chew Hui Min, Prajhessh Magendran dan Bong Yee Sheng.

Mereka akan mewakili Malaysia dalam Pertandingan Jessup 2024 peringkat antrabangsa yang akan diadakan pada 30 Mac hingga 6 April 2024 di Washington, DC.

Dekan Fakulti Undang-Undang,  Prof. Madya. Dr Jady@Zaidi Hassim berkata kemenangan ini sangat bermakna buat pasukan moot UKM kerana telah mengharumkan nama universiti di persada antarabangsa.

“Pertandingan ini memerlukan persiapan selama enam hingga lapan bulan kerana ia melibatkan tiga fasa utama iaitu, fasa penyelidikan, fasa pendrafan hujahan bertulis dan fasa penghujahan secara lisan.

“Kami berharap untuk mencapai kemenangan yang lebih lagi dari tahun berikutnya,” katanya.

Tambahnya, pertandingan format moot (perdebatan dalam situasi mahkamah) ini merupakan platform penting bagi pelajar undang-undang untuk meningkatkan kemahiran berhujah yang boleh diaplikasi dalam kes perbicaraan sebenar.

“Pertandingan ini juga mampu memberikan pengalaman kepada para peserta untuk bertukar pendapat selain mencungkil bakat baharu yang dapat melahirkan graduan undang-undang berkualiti tinggi,” katanya.

Pertandingan Jessup merupakan pertandingan mahkamah moot yang tertua dan terbesar di dunia dan dikenali dalam profesion undang-undang sebagai “Olimpik” (‘Olympics’) atau “Piala Dunia” (‘World Cup’) bagi pelajar undang-undang.

Pada setiap tahun, Pertandingan Jessup disertai oleh kira-kira 700 fakulti undang-undang dari 100 buah negara.

Leave a Reply