UKM Adakan Program Kelestarian Komuniti Bantu Penduduk Kampung di Kedah

Oleh Norzatul ‘Ezzah Hasan, Prof. Dr. Mohd. Nizam Mohd. Said & Prof. Dr. Kamisah Osman

ALOR SETAR, 21 Mac 2024 – Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif dengan mengadakan program Pemerkasaan Kelestarian Komuniti Terhadap Kesan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi membantu penduduk di sekitar daerah Kota Setar dan Yan di Kedah yang yang terjejas dengan impak perubahan iklim.

Program itu diadakan bagi memberi kesedaran dan memupuk semangat keprihatinan masyarakat setempat terhadap kelestarian alam sekitar dalam mencapai kehidupan yang lestari.

Komuniti kampung yang dipilih merupakan komuniti yang dikenal pasti tinggal di kawasan yang mengalami impak perubahan iklim seperti hakisan pantai, kemasukan air masin ke dalam kawasan sawah padi, mengalami bencana alam seperti banjir dan sebagainya.

Program yang diadakan di Perkarangan Masjid As-Sa’adah Kampung Tebengau, Kuala Kedah itu telah mengumpulkan seramai 170 orang yang terdiri daripada wakil agensi tempatan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), E-Idaman Sdn. Bhd., Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), komuniti setempat iaitu dari Daerah Kota Setar (Kampung Padang Garam, Kampung Seberang Kota, Kampung Tebengau, Kampung Sala Kecil) dan Kampung Sala Besar, Daerah Yan, Kedah.

Program ini tercetus selepas pasukan penyelidik ini yang terdiri daripada pensyarah dan pegawai dari Kursi Kelestarian Universiti Kebangsaan Malaysia-Yayasan Sime Darby (UKM-YSD), mengadakan tinjauan awal pada 29 November 2023 di kawasan komuniti tersebut.

Antara isu utama yang telah dikenal pasti adalah isu pengurusan sisa dalam kalangan penduduk, yang mana hasil sisa domestik kebanyakannya disalurkan ke tali air berhampiran dan sebahagiannya dibakar.

Kesedaran dan tindakan alam sekitar sedemikian mengimplikasikan pencemaran alam sekitar setempat dan turut menjadi punca kepada kejadian banjir kilat serta permasalahan kesihatan melalui penularan wabak denggi dan sebagainya.

Program intervensi bersama komuniti itu merupakan program permulaan sebagai pengikat bersama komuniti setempat dalam menjalankan aktiviti-akiviti memperkasakan peranan komuniti yang terbabit ke arah kehidupan yang lebih sihat dan lestari.

Bagi memastikan program yang dijalankan adalah relevan dan berkesan, sebuah modul telah dibangunkan oleh pasukan penyelidik iaitu Modul Pemerkasaan Kelestarian Alam Sekitar yang dapat dijadikan sebagai rujukan bacaan dan panduan.

Pengisian program seperti aktiviti Pengurusan Sisa, Air, Tenaga dan Bencana juga telah disusun dengan baik agar dapat menyumbang kepada kelestarian dan kesejahteraan kehidupan komuniti  setempat selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari yang mempromosikan kemajuan sejagat melalui keseimbangan antara aspek sosial, ekonomi dan persekitaran.

Penganjuran Program Pemerkasaan Kelestarian Komuniti yang Terkesan Akibat Perubahan Iklim dan Alam Sekitar ini amat signifikan kerana alam sekitar yang kondusif untuk didiami menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan masyarakat sejagat.

Program yang julung kalinya diadakan itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Tuan Haji Mohamad Yusoff@Munir Zakaria.

Leave a Reply