FSK lancar buku panduan terapi pertuturan bahasa kanak-kanak

Oleh Asmahanim Amir
Foto Fakulti Sains Kesihatan

KUALA LUMPUR, 24 Mac 2023 – Fakulti Sains Kesihatan melalui Program Sains Pertuturan melancarkan Buku Panduan Perkembangan Bahasa dan Pertuturan Kanak-Kanak  bagi membantu ibu-bapa dalam menguruskan anak-anak istemewa yang mengalami gangguan komunikasi seperti, autisme, sindrom down dan cerebral palsy.

Penolong Dekan (Keusahawanan dan Kreativiti) FSK, Prof. Madya Dr. Zahara Abdul Manaf berkata matlamat penghasilan buku panduan tersebut adalah untuk memudahkan ibu bapa berbahasa Melayu menggunakan strategi dan teknik tertentu untuk meningkatkan kemahiran bahasa dan komunikasikanak-kanak istimewa.

“Peranan ibu bapa dalam perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak adalah penting kerana mereka adalah rakan komunikasi utama untuk anak-anak.

“Malah, dalam proses bahasa dan pertuturan intervensi, tumpuan ahli terapi adalah untuk ibu bapa mempelajari bahasa dan teknik komunikasi supaya mereka dapat mempraktikkan kemahiran tersebut bersama anak di rumah.

“Jadi, buku ini akan menjadi rujukan ibu bapa semasa melakukan intervensi di rumah bersama anak-anak mereka,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Pelancaran Buku Panduan Perkembangan Bahasa dan Pertuturan Kanak-Kanak, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata kandungan buku tersebut terdiri daripada strategi asas untuk meningkatkan prestasi bahasa kanak-kanak dan aktiviti rangsangan bahasa yang akan memberi manfaat kepada ibu bapa dan kanak-kanak.

“Buku ini bakal membantu ibu bapa dalam meningkatkan perkembangan bahasa anak-anak, terutamanya mereka yang mempunyai masalah pembelajaran dan ketidakupayaan,” katanya.

Prof. Madya Dr. Zahara buku ini dihasilkan memandangkan bilangan ahli terapi pertuturan bahasa yang kecil berbanding dengan penduduk Malaysia menjejaskan jangkauan penyampaian perkhidmatan terapi pertuturan.

Sementara itu, Ketua Program Sains Pertuturan yang juga merupakan penulis dan penyunting buku tersebut, Dr. Chu Shin Ying berkata pasukannya mencipta buku panduan tersebut bagi membimbing ibu bapa menjalankan terapi pertuturan di rumah bersama anak-anak.

“Projek penghasilan buku ini bermula sejak tahun 2020 bagi memenuhi keperluan ibu bapa yang terpaksa menguruskan sepenuhnya anak-anak berkeperluan khas di rumah akibat pandemik Covid-19.

“Oleh itu, kami membangunkan buku ini khusus untuk membantu mereka dan kami melancarkan versi bahasa Mandarin pertama pada tahun 2020, dan hari ini buku versi bahasa Melayu dapat dilancarkan,” katanya.

Buku panduan itu mengandungi siri aktiviti yang boleh dijalankan oleh ibu bapa di rumah untuk mengembangkan kemahiran komunikasi anak dan juga membantu ibu bapa mempelajari teknik terapi pertuturan.

Penerbitan buku ini adalah hasil kerjasama tajaan daripada 20dB Hearing dan Harmony Five Sdn. Bhd., dengan cetakan sebanyak 2,000 naskah diedarkan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

Leave a Reply