Tujuh Syarikat Dipilih Untuk Sertai Program PEMULA@UKM

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 21 Mac 2023 – Tujuh syarikat yang terdiri daripada kakitangan akademik, profesional dan pelajar UKM telah terpilih untuk mengikuti Program PEMULA@UKM.

Syarikat tersebut adalah MyB Innovation Sdn Bhd. (Fakulti Perubatan); Geothermal Resources Sdn. Bhd (Fakulti Sains dan Teknologi); myNFT Sdn. Bhd. (Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat); Truly Nativeland Sdn. Bhd. (LESTARI); ChemSci (Fakulti Sains dan Teknologi); Makcik Travels Sdn. Bhd. (Fakulti Sains Kesihatan); dan DeriaLAH Sdn. Bhd. (Fakulti Sains Teknologi).

Syarikat-syarikat ini mengetengahkan pelbagai teknologi penyelidikan yang merangkumi peranti perubatan, aplikasi teknologi berasaskan keterbaharuan tenaga, sistem aplikasi pengesanan tumpahan minyak, sistem aplikasi pendidikan pelancongan, modul pendidikan berasaskan STEM, sistem aplikasi berdasarkan perkhidmatan peneman untuk warga emas dan juga sistem sensor kualiti udara pintar.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, syarikat yang ditubuhkan adalah berteraskan teknologi.

“Mereka akan mendapat bimbingan yang komprehensif bagi memastikan syarikat-syarikat pemula ini menjadi sebuah syarikat yang kukuh dan berdaya saing,” katanya.

Beliau turut menyifatkan program seumpama ini berfungsi sebagai batu loncatan kepada graduan dengan membuka peluang pekerjaan melalui bidang perniagaan dan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pasaran kerja semasa yang semakin terhad.

“Universiti menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan graduan yang dihasilkan berkemahiran tinggi dan kompetitif  dalam bidang akademik serta mempunyai nilai tambah dengan ilmu keusahawanan yang tinggi.

“Diharap syarikat yang telah berjaya untuk menyertai program ini dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan dalam merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan juga pengkomersialan dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara khususnya dan masyarakat umumnya bagi melahirkan modal insan yang mempunyai daya saing yang jitu,” katanya.

Leave a Reply