Pusat Jaminan Kualiti (PJK) Tawar Program Pengajian Profesional Baharu

Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 18 Julai 2022 – Pusat Jaminan Kualiti (PJK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menawarkan program pengajian baharu iaitu Sijil Profesional Penjaminan Kualiti: Program Pengajian dan Perkhidmatan.

Menurut kenyataan PJK, program tersebut telah mendapat kelulusan penawaran oleh Jawatankuasa Perancangan dan Perkembangan Akademik (JPPA Ke-263) pada 6 Oktober 2021.

Objektif pelaksanaan program adalah untuk melahirkan pentadbir dan pelaksana yang mempunyai kompetensi dan pengetahuan yang tinggi berkaitan penjaminan kualiti program pengajian dan perkhidmatan.

Selain itu, ia juga bagi mewujudkan saluran perkongsian amalan baik berkaitan kualiti program pengajian dalam kalangan pentadbir dan pelaksana program pengajian dan perkhidmatan.

Untuk program profesional tersebut, sasaran pelajar adalah staf yang mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya enam bulan dalam pengurusan kualiti program pengajian dan/atau perkhidmatan yang berkaitan.

Program itu dibangunkan dan dilaksanakan bagi menghasilkan lebih ramai kakitangan yang melaksanakan proses penjaminan kualiti yang berkemahiran serta kompeten. Ia juga adalah bagi melestarikan agenda penjaminan kualiti di UKM dengan melahirkan pemimpin Universiti yang cakna tentang agenda penjaminan kualiti secara keseluruhannya.

Program itu telah memulakan kursus sulungnya bagi siri 1/2022 pada 2 Mac hingga 24 Mac 2022 dan telah dihadiri oleh seramai 44 peserta yang terdiri daripada Penolong Dekan (Kualiti dan Strategi, Ketua Jaminan Kualiti, Ketua Program, staf akademik dan staf pengurusan dan profesional).

Siri 2/2022 pula bakal dilaksanakan bermula 12 September hingga 30 September 2022 dengan kuliah dijalankan secara dalam talian. Untuk siri 2, pihak fakulti juga membuka penyertaan kepada peserta dari luar UKM dan disasarkan kepada Universiti Awam dan Swasta serta agensi kerajaan.

Pelaksanaan Siri 2 akan menawarkan pilihan kursus secara pakej atau ala-carte. Yuran kursus adalah bermula RM750 dengan pakej modul lengkap.

Terdapat tiga modul pilihan iaitu Modul Peningkatan Kualiti dan Pembangunan Kurikulum yang memperuntukkan peserta perlu melengkapkan tiga kredit dengan dua kredit daripada kursus wajib dan satu kredit kursus pilihan.

Modul kedua adalah Modul Sistem Pengurusan Kualiti dan Risiko, iaitu peserta perlu melengkapkan tiga kredit dengan dua kredit daripada kursus wajib dan satu kredit kursus pilihan, manakala modul ketiga adalah Modul Audit dan Akreditasi Program yang memperuntukkan peserta perlu melengkapkan 4 kredit dengan 3 kredit daripada kursus wajib dan 1 kredit kursus pilihan.

Bagi membolehkan peserta mendapat penganugerahan sijil profesional, mereka perlu lulus pentaksiran bagi setiap kursus, menghadiri sekurang-kurangnya 70 peratus daripada setiap kursus yang ditawarkan dan melengkapkan kelompok kursus mengikut modul pilihan yang ditetapkan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan program profesional itu, boleh hubungi pegawai bertanggungjawab iaitu Puan Norliyana ditalian 03-89215077.

Leave a Reply