UKM Gerakkan Pasukan Kesihatan Bantu Merawat Mangsa Banjir di Baling

Oleh: Asmahanim Amir
Foto UCTC dan HCTM

BANGI, 8 Julai 2022 – Sebagai salah satu usaha untuk membantu mangsa banjir yang melanda beberapa Kawasan di Baling, Kedah baru-baru ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menghantar pasukan perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, bersama-sama pasukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil inisiatif menyalurkan bantuan perubatan kepada mereka yang terjejas akibat bencana tersebut.

Pasukan kesitahan itu disertai oleh 12 orang sukarelawan terdiri daripada doktor, Penolong Pegawai Perubatan, jururawat dan pelajar kejururawatan.

Bagi melancarkan proses perkhidmatan rawatan, pasukan kesihatan UKM membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan khidmat perundingan kesihatan dan rawatan kesihatan di booth Pusat Kesihatan Daerah.  

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata sebagai tanggung jawab kepada masyarakat, hospital pembelajaran UKM sedia membantu dengan menawarkan bantuan kepada mangsa banjir yang memerlukan rawatan perubatan.

“Walaupun kawasan yang terjejas banjir itu di utara tanah air, tetapi UKM tetap menghulurkan bantuan segera dalam menyantuni masyarakat.

“Petugas kesihatan kita memberikan khidmat perundingan kesihatan dan rawatan kesihatan bergerak dari rumah ke rumah kepada mangsa yang terlibat dengan bencana banjir dan petugas sukarelawan yang bertugas,” katanya.

Selain itu, ujarnya, pasukan perubatan UKM turut bekerjasama dengan pasukan sukarelawan pembersihan dari UKM membersihkan rumah penduduk yang terjejas.

Selain pasukan perubatan, UKM turut menggerakkan 55 orang sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar dari kampus Bangi dan Cheras bagi membantu pendudukan kampung yang terjejas.

“Sebagai universiti watan, kita sentiasa peka dengan apa yang berlaku dalam masyarakat. Bantuan dihulurkan tidak mengira kaum, bangsa, dan agama. 

“Semuanya kita santuni bagi meringankan beban. Walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa, tetapi semangat kemasyarakatan itu sentiasa diterapkan dalam jiwa warga UKM,” kata Mohd Ekhwan.

Leave a Reply