Oleh Khairatul Nadia Ramli
KUALA LUMPUR, 5 Jun 2025 – Penyakit gastrik kronik dan ulser perut yang berpunca daripada bakteria Helicobacter pylori atau H. pylori, jika tidak dirawatboleh menyebabkan komplikasi lebih serius iaitu kanser perut.
Pensyarah Kanan Jabatan Mikrobiologi dan Imunologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Alfizah Hanafiah berkata ramai pesakit tidak sedar, gejala biasa seperti pedih ulu hati atau kembung boleh menjadi tanda jangkitan H. pylori.
“Bakteria ini juga mampu hidup dalam perut manusia walaupun perut mengandungi asid,” katanya.
Beliau berkata perkara yang membimbangkan sekarang adalah rawatan untuk membunuh bakteria itu semakin kurang berkesan disebabkan peningkatan kerintangan antibiotik, iaitu keadaan apabila bakteria menjadi ‘kebal’ terhadap ubat.
Bakteria ini cukup ‘pintar’ kerana ia menghasilkan enzim khas yang dapat meneutralkan asid dalam perut.
“Selain itu, bakteria ini juga boleh melekat kuat pada dinding perut dan membina lapisan perlindungan (biofilm) yang menyukarkan ubat untuk membunuhnya,” katanya.
Siapa Berisiko Dijangkiti?
Ujar Dr Alfizah, jangkitan biasanya bermula sejak kecil dan boleh berlarutan bertahun-tahun tanpa disedari.
“Ia tersebar melalui makanan, air minuman tercemar atau berkongsi peralatan makanan terutamanya dalam persekitaran yang kurang bersih,” ujarnya.
Kajian yang dilakukan oleh Dr Alfizah di sebuah institusi pendidikan tinggi di Lembah Klang mendapati hampir enam peratus pelajar berumur 20 dan 21 tahun telah dijangkiti oleh bakteria H. pylori.
“Bakteria ini turut menjangkiti masyarakat Orang Asli dengan kadar jangkitan mencecah lebih lapan peratus. Secara umumnya, di Malaysia, kira-kira satu daripada tiga orang dewasa yang mempunyai simptom (gejala) mungkin dijangkiti bakteria ini,” jelas beliau.
Beliau berkata golongan yang berisiko lebih tinggi adalah termasuk warga emas, mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, serta mereka yang mempunyai status sosioekonomi rendah.
Antibiotik Tidak Lagi Mujarab?
Di UKM, kajian mendapati 90 peratus bakteria H. pylori yang dipencil daripada pesakit yang gagal rawatan adalah rintang (kebal) terhadap antibiotik. Malah, terdapat satu kes pada tahun 2024 menunjukkan bakteria tersebut rintang terhadap empat jenis antibiotik sekaligus.
Dr Alfizah berkata rawatan biasa yang menggabungkan dua antibiotik dan ubat penurun asid perut (terapi tiga serangkai) kini sering gagal, menyebabkan rawatan lebih rumit, mahal dan berisiko tinggi kepada pesakit.
“Kalau kita tak kawal penggunaan antibiotik sekarang, kita mungkin akan hadapi zaman di mana jangkitan biasa pun tak boleh dirawat,” katanya.
Bagi membendung penyakit itu, beliau menyeru agar masyarakat untuk mengawasi tanda-tanda awal seperti pedih ulu hati, sakit perut yang berpanjangan atau kembung dan jangan anggap gajala itu hanya ‘masuk angin’.
Selain itu, beliau juga berpesan agar menjaga kebersihan makanan dan air minuman, gunakan antibiotik hanya bila perlu dan ikut nasihat doktor sepenuhnya, serta membuat pemeriksaan jika simptom berpanjangan.
Katanya, jangkitan H. pylori bukan isu kecil dan ia kini satu cabaran besar kesihatan awam yang memerlukan tindakan bersama.

Gambar skematik H. pylori berbentuk spiral

Bakteria H. pylori dilihat secara mikroskopik di bawah mikroskop cahaya (pembesaran 1000x)