IKMAS Terima Dana Antarabangsa bernilai RM1.7 Juta

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 4 Jun 2025 – Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) menerima dana antarabangsa bernilai RM1.7 juga daripada The Coca-Cola Foundation bagi melaksanakan Projek Usahawan Mikro Berbudi Daya (UMBI) dalam membantu usahawan kecil.

Projek yang diketuai oleh Felo Penyelidik IKMAS, Dr. Muhamad Azwan Abd Rahman disifatkan berimpak tinggi kerana elemen advokasinya kepada golongan usahawan mikro dan jaringan kerjasama penyelidikan antara universiti dan industri.

Timbalan Naib Casnelor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Wan Kamal Mujani dalam ucapan perasmiannya berkata kerjasama itu amat penting dalam memperkasa golongan peniaga, penjaja dan usahawan kecil.

Ia lebih bermakna jika pulangan nilai pembangunan sosioekonomi bertunjangkan dapatan penyelidikan yang saintifik dan boleh diukur berjaya dihasilkan.

“Dalam konteks ini, saya melihat bahawa Projek UMBI ini bakal memberikan pulangan kepada agenda Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals 2030 (SDG 2030), khususnya Goal 1 No Poverty; Goal 8 Decent Work and Economic Growth; dan Goal 17 Partnership for the Goals yang menjadi agenda global pada masa kini,” katanya.

Beliau berharap agar projek itu dapat diterjemahkan melalui komponen-komponen penting iaitu pemindahan ilmu melalui Modul UMBI; penilaian dan pemantauan melalui garis panduan dan kayu ukur yang dinamakan sebagai Model CAHAYA.

“Ia tentunya boleh direalisasikan dengan kerjasama pelbagai universiti awam, universiti swasta dan industri,” jelasnya.

Penyerahan cek dana penyelidikan yang diadakan di Bilik Senat baru-baru ini, turut dihadiri oleh Penasihat Projek UMBI, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong dan Pengurus Besar Coca-Cola Malaysia dan Koordinator The Coca-Cola Foundation, Tuan Wan Ahmad Syazwan Mohamed.

Leave a Reply