Hari Penyelidikan dan Inovasi FSK 2025 Promosi Hasil dan Idea Inovasi Fakulti

Oleh Nur Faizah Abu Bakar
Foto oleh Faisal Ariffin

KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2025 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) julung kalinya menganjurkan Hari Penyelidikan dan Inovasi FSK 2025, yang menjadi platform utama warga FSK  mempromosikan hasil dan idea inovasi kepada umum.

Pengarah Pusat IDEA UKM, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Jamia Azdina Jamal berkata usaha FSK menganjurkan program itu membuka ruang perkongsian idea, kerjasama rentas disiplin, serta menyemarakkan semangat kreativiti dalam kalangan penyelidik muda dan berpengalaman.

“Inovasi menjadi jambatan penting yang menghubungkan hasil penyelidikan dengan aplikasi sebenar, sama ada dalam bentuk produk, perkhidmatan, polisi mahupun teknologi yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Selain itu, beliau berkata keterlibatan pihak industri juga perlu dalam melahirkan inovasi yang lebih menyeluruh.

“Teknologi kini seiring dengan peredaran masa seperti AI (kecerdasan buatan) yang boleh diketengahkan dalam program dimasa akan datang. Hal ini kerana setiap inovasi perlulah seiring dengan perancangan pada masa akan datang,” katanya.

Sebagai menghargai usaha pengkomersialan penyelidikan, empat rakan industri telah menerima sijil dalam program ini bagi memberi penghargaan atas kejayaan dan komitmen yang ditunjukkan oleh mereka dalam pengkomersialan lima produk inovasi bersama FSK.

Rakan industri yang terlibat ialah Premier Integrated Rehab Sdn Bhd melalui produk iAGELESS dan WR2, Sailli Viroha (M) Sdn Bhd (produk WE-RISE), Your Physio Sdn. Bhd. (produk WE-SURF™), dan O-sentai Enterprise (produk Portion Masters).

Penganjuran kali pertama ini menerima sambutan yang menggalakkan dengan 52 penyertaan daripada warga FSK bagi empat kategori inovasi iaitu Penyelidikan, Klinik, Makmal dan Pejabat dengan 20 inovasi merangkul pingat emas, 19 pingat perak dan 13 pingat gangsa.

Anugerah utama iaitu Anugerah Berlian dimenangi oleh inovasi penyelidikan bertajuk Transforming Occupational Dose Monitoring through Radiation Dose Observation & Notification (RaDON) System, yang diketuai oleh Dr Muhammad Safwan Ahmad Fadzil.

Pasukan NEUROSPARK EIP pula diumukan sebagai pemenang Anugerah Reruai Terbaik.

Penganjuran Hari Penyelidikan dan Inovasi FSK 2025 itu diharap dapat menyemarakkan lagi budaya berinovasi dalam kalangan warga FSK bagi menjana lebih banyak inovasi berpotensi untuk dikomersialkan pada masa hadapan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan peserta.

Leave a Reply