Kerjasama UKM dengan DFP dan MPO Perkasa Pembangunan Bakat dalam Bidang Seni dan Budaya

Oleh Murni Karim dan Siti Aisyah Wahama
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 21 Julai 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Pengajian Citra (CITRA UKM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) bagi memperkasa kerjasama dalam pembangunan bakat, pendidikan, seni dan budaya.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh, bersama Ketua Pegawai Eksekutif DFP dan MPO, Puan Siti Azalina Abd. Latif, disaksikan oleh Dekan CITRA UKM, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh.

Puan Siti Azalina Abd. Latif berkata seni dan pendidikan mempunyai pengaruh besar dalam membentuk masyarakat serta memajukan negara.

“Gabungan kedua-dua elemen seni dan pendidikan memiliki kuasa luar biasa untuk membentuk keperibadian insan, memperkukuh ikatan komuniti serta memacu negara melangkah jauh ke hadapan.

“Visi utama kolaborasi ini adalah untuk menjadikan konsert sebagai sebuah makmal pembelajaran interaktif manakala master class pula bertindak sebagai sambungan kepada bilik darjah di mana bengkel-bengkel yang dijalankan menjadi platform untuk pelajar memperoleh kemahiran praktikal, kreatif dan profesional,” jelas beliau.

Melalui kerjasama ini, UKM dan DFP/MPO akan menganjurkan pelbagai program termasuk seminar, bengkel, latihan industri, persembahan serta program libatsama komuniti.

Kerjasama ini turut membuka peluang kepada pelajar dan tenaga pengajar UKM untuk memperoleh pengalaman serta pendedahan secara langsung dengan industri kreatif.

Langkah strategik ini menurut Prof. Dr. Sharifa Ezat adalah penting bagi memastikan UKM yang sedia kukuh dalam bidang sains dan teknologi tidak mengetepikan potensi pelajar dalam bidang kreatif.

Beliau menjelaskan bahawa skop kerjasama ini bersifat inklusif untuk seluruh universiti.

“Kerjasama ini merangkumi semua fakulti termasuk juga fakulti-fakulti yang ada kepentingan seperti terapi untuk kanak-kanak istimewa.

“Jika tumpuan hanya diberikan secara eksklusif kepada bidang sains, kita berkemungkinan besar akan meminggirkan potensi serta bakat pelajar yang lebih cenderung ke arah bidang seni.”

Antara inisiatif awal yang akan dilaksanakan menerusi kerjasama ini ialah penganjuran Konsert DiRaja UKM di Dewan Filharmonik PETRONAS pada 8 Ogos ini yang dikendalikan oleh Yayasan Canselor.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Bariah Mohd. Ali.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian MoU antara DFP dan MPO dengan empat lagi universiti awam iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Leave a Reply