IMEN perlu menjadi pusat penyelidikan kecemerlangan nanoteknologi kebangsaan – TKSU KPT

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 19 Mei 2023 – Institut Kejuruteraan Mikro Dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu menjadi pusat penyelidikan kecemerlangan nanoteknologi kebangsaan supaya dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada penyelidikan di UKM, tetapi kepada kesemua pusat pengajian tinggi di Malaysia dari segi kemudahan yang ditawarkan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Mohd. Zabri Yusoff berkata IMEN harus mempunyai kemudahan penyelidikan tersendiri yang bertindak sebagai pelengkap kepada penyelidikan di pusat-pusat kecemerlangan lain yang terdapat di Malaysia.

“Perkembangan bidang nanoteknologi begitu menggalakkan di seluruh dunia kerana aplikasinya yang mempengaruhi sebahagian besar kehidupan manusia sekarang dan lebih lagi di masa akan datang.
“Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam bidang ini. Mengikut senario global USA, Jepun dan Eropah telah membelanjakan lebih dari US$2,000 billion sejak tahun 2002 dalam program nasional nanoteknologi mereka.

“Berdasarkan kepentingan bidang ini dan untuk menjadikan Malaysia lebih kompetitif dalam nanoteknologi khususnya sektor elektronik yang merupakan salah satu National Key Economic Area (NKEA), maka keperluan untuk membina kemudahan Nanofabrikasi adalah amat bersesuaian dan tepat pada masanya,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Sambutan 20 Tahun IMEN, di sini.

Katanya berharap IMEN dapat menarik minat syarikat luar untuk bekerjasama dalam penyelidikan nanoteknologi, disamping mewujudkan inisiatif untuk membina ‘start-up company’ yang berteknologi tinggi, khususnya yang berkaitan dengan nanoteknologi.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata dalam tempoh 20 tahun ini, IMEN telah berjaya memberi pelbagai sumbangan dalam membangunkan bidang mikroelektronik dan nanoteknologi melalui aktiviti pemindahan teknologi dan advokasi polisi kepada pihak kerajaan, swasta dan komuniti yang telah menampakkan hasil yang nyata dan menjadikan IMEN sebagai rujukan oleh pelbagai pihak.

“Saya berbangga dengan kejayaan IMEN sebagai sebuah institut yang diiktiraf sebagai Higher Centre of Excellence (HiCoE) untuk menjalankan penyelidikan MEMS dalam penghasilan ginjal tiruan yang diberi nama PeritoCare oleh pihak KPT; pemilihan IMEN untuk menyertai NanoMiTe dan pengiktirafan sebagai sebuah NanoMalaysia Centre of Excellence daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Apa yang lebih membanggakan IMEN adalah antara institut utama yang paling banyak melahirkan modal insan dalam bidang ini di negara kita,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh 20 tahun, IMEN telah mengalami perubahan dari segi hala tuju penyelidikan dan juga struktur organisasi pengurusan penyelidikannya.

“Ini kadang-kala terpaksa dilakukan demi untuk memenuhi keperluan tujahan penyelidikan semasa di samping mengukuhkan lagi peranan IMEN dalam memberi sumbangan kepada pembangunan bidang mikroelektronik dan nanoteknologi.

“Saya berharap IMEN akan terus menggiatkan lagi projek-projek penyelidikan berskala besar dan jangka panjang untuk menjalankan kajian multi-disiplin, melibatkan penyelidik dan para ilmuan dari pelbagai tempat, sama ada tempatan mahupun luar negara,” tambah beliau.

Leave a Reply