FST dan DNV Malaysia Sdn Bhd kukuhkan kerjasama bidang penyelidikan

Oleh Fakulti Sains dan Teknologi
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 17 Mei 2023 – Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan syarikat DNV Malaysia Sdn. Bhd. mewujudkan kerjasama strategik dalam penyelidikan dan perindustrian di peringkat antarabangsa melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA).

Melalui MoA ini, pihak DNV Malaysia Sdn. Bhd. telah menyalurkan dana berjumlah RM139,140 bagi membentuk kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkongsian peralatan asas dan sumber untuk penyelidikan & perindustrian, pemindahan peralatan makmal dan mendapatkan pengiktirafan makmal kerjasama sebagai makmal akreditasi.

Dokumen MoA ditandatangi oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani yang mewakili UKM dan Area Manager, DNV Energy System, South East Asia (SEA) Mr. Zhao Xiaodong mewakili DNV Malaysia Sdn. Bhd.

Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani dalam ucapannya berkata UKM dan DNV Malaysia Sdn. Bhd telah menjalinkan hubungan strategik sejak tahun 2017, melalui perundingan, penyelidikan dan kerja industri untuk meningkatkan kualiti penyelidikan kakisan (corrosion).

“Berdasarkan hubungan rapat antara kedua-dua pihak, usaha telah dibuat untuk menyediakan makmal DNV di Fakulti Sains dan Teknologi, yang diiktiraf di bawah MS ISO 17025:2017.

“Maka, MoA yang ditandatangani hari ini akan menumpukan kepada pembangunan bakat dan sumber manusia, penyelidikan dan inovasi, rangkaian profesional dan global serta merialisasikan penubuhan makmal akreditasi MS ISO 17025:2017 di FST,” ujar beliau.

Katanya, beliau berharap kedua-dua pihak akan mendapat sesuatu daripada kerjasama tersebut, khususnya dalam pembangunan industri dan perkhidmatan perundingan, produk R&D tempatan dan antarabangsa, serta kemudahan makmal pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

“Semoga kerjasama ini dapat diteruskan dengan pelbagai lagi program yang dirancang seperti memberi pendedahan kepada pelajar terhadap industri melalui latihan industri, selain memberi manfaat kepada DNV melalui kerjasama dengan pakar UKM dalam membangunkan teknik atau teknologi baharu yang diperlukan dalam pasaran industri terkini,” katanya.

DNV Malaysia Sdn. Bhd. beroperasi di lebih 100 buah negara, dengan menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai industri, termasuk maritim, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, elektrifikasi, makanan dan minuman serta penjagaan kesihatan.

“Saya yakin ini adalah peluang terbaik untuk UKM dan DNV untuk bekerjasama dalam projek tambahan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” kata Prof. Dato; Dr. Wan Kamal.

Hadir sama ke majlis itu ialah Dekan FST, Prof. ChM. Dr. Ishak Ahmad, Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman dan Pengurus Pembangunan Perniagaan DNV Malaysia Sdn. Bhd., Ts. Dr. Mazlan Shah.

Leave a Reply