Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
PUTRAJAYA, 4 Ogos 2026 – Institut Sel Fuel (SELFUEL), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama dengan dua rakan industri, G Hydrogen Sdn Bhd dan Limpahan Engineering Sdn Bhd melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA), baru-baru ini.
Kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen kukuh kedua-dua pihak dalam menterjemah hasil penyelidikan kepada penyelesaian berimpak untuk masyarakat dan masa depan tenaga lestari.
Dokumen MoA ditandatangani oleh Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Dr Sufian Jusoh. G Hydrogen Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Roland Choong Tae Kwon, manakala Limpahan Engineering Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan, Encik Kamarul Hafiz Mohamed.
Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Norsham Abdul Latip yang hadir menyempurkan Majlis Perasmian Penutup 4th Symposium on Fuel Cell and Hydrogen Technology in Conjunction with the 2nd International Symposium on Solar Hydrogen 2026 (SFCHT-SSH 2026) menjadi saksi pemeterian MoA tersebut.
Dalam ucapannya, Norsham berkata penganjuran simposium itu dilihat berjaya meningkatkan sinergi kolaborasi antara pihak akademia, pusat penyelidikan serta agensi kerajaan dan pengamal industri, sekali gus memberi jalan ke arah pemindahan teknologi yang lebih efisien dari makmal ke sektor komersial.
Katanya, matlamat MOSTI adalah untuk memastikan hasil penyelidikan melangkaui penerbitan akademik dan diterjemahkan kepada penyelesaian berimpak tinggi yang meningkatkan daya saing negara, menambah baik produktiviti serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Dalam konteks tenaga bersih, beliau berkata fokus simposium (SFCHT-SSH 2026) terhadap teknologi hidrogen, sel bahan api, tenaga yang boleh diperbaharui dan kecerdasan buatan (AI) adalah amat signifikan bagi menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) Malaysia.
“HETR menyediakan kerangka strategik komprehensif untuk membangunkan ekosistem hidrogen Malaysia melalui kecemerlangan penyelidikan, pembangunan teknologi, pemupukan bakat, pengkomersialan serta kerjasama yang teguh antara kerajaan, akademia dan industri.
“Pada masa yang sama, usaha-usaha ini menyumbang secara langsung kepada pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang merangka laluan Malaysia ke arah masa depan tenaga yang rendah karbon, terjamin, berdaya tahan dan mampan,” ujarnya.
Tambah beliau, teknologi hidrogen, sel bahan api, penyelesaian tenaga yang boleh diperbaharui dan inovasi AI akan memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar menjelang 2050, di samping mewujudkan peluang ekonomi baharu, industri bernilai tinggi dan pekerjaan berkualiti untuk generasi akan datang.
Pada majlis itu juga turut diadakan pelancaran tiga teknologi inovatif melalui ekosistem penyelidikan dan inovasi. Inovasi pertama ialah BayuCharge SeaWater-FuelCell iaitu sumber kuasa mudah alih mampu milik yang boleh digunakan tanpa sambungan kepada grid untuk tujuan pengecasan.
Kedua ialah Kit Pendidikan Sel Fuel yang merupakan pakej pembelajaran komprehensif yang menggabungkan eksperimen amali, pembelajaran dipertingkatkan AI dan pengalaman realiti maya (VR) yang imersif bagi menjadikan pendidikan tenaga bersih lebih menarik, interaktif dan mudah difahami, manakala inovasi ketiga adalah UKMSense Tech Biosensor, iaitu inovasi sensor termaju yang direka khusus untuk pemantauan kualiti air secara nyata.
Kejayaan SFCHT-SSH 2026 merupakan titik tolak kepada jalinan strategik antara universiti dengan sektor industri yang akan terus memacu kemajuan sains, teknologi dan kelestarian masa hadapan.


