Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
PUTRAJAYA, 3 Ogos 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama penyelidikan teknologi hidrogen dan sel bahan api bersama Universiti Yamanashi, Jepun melalui penubuhan Japan-Malaysia Hub on Fuel Cell and Hydrogen Technology (JMH2).
Memorandum Perjanjian (MoA) penubuhan JHM2 ini ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Dr Ismanizan Ismail bersama Naib Presiden University of Yamanashi (UoY), Prof. Dr. Xiaoyang Mao, dan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim.
Prof Dr Ismanizan berkata penubuhan hab tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkasa pembangunan teknologi tinggi, khususnya teknologi tenaga bersih dan tenaga boleh baharu yang menjadi antara keutamaan negara.
“Penubuhan hab ini merupakan satu langkah penting dalam menyokong agenda negara ke arah pembangunan tenaga bersih, teknologi hijau dan sasaran pelepasan karbon sifar bersih (net zero carbon).
“UKM sememangnya mempunyai kekuatan dalam bidang ini melalui Institut Sel Fuel yang menerajui penyelidikan berkaitan teknologi hijau, sel bahan api dan pengeluaran hidrogen.
“Melalui kerjasama ini, kita bukan sahaja mengukuhkan kepakaran sedia ada, malah memperluaskan jaringan antarabangsa bagi mempercepat pembangunan teknologi hidrogen demi kemajuan negara,” katanya.
Beliau berkata JMH2 adalah satu-satunya hab di Malaysia yang memberi tumpuan khusus terhadap hidrogen dan teknologi sel bahan api serta mempunyai potensi untuk menjadi platform utama bagi kerjasama ASEAN.
“Inisiatf itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penyelidik dan pelajar pascasiswazah, malah pemain industri melalui kerjasama penyelidikan, pemindahan teknologi dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian 4th Symposium on Fuel Cell and Hydrogen Technology in Conjunction with the 2nd International Symposium on Solar Hydrogen 2026 (SFCHT-SSH 2026) yang menghimpunkan penyelidik dari Malaysia dan Jepun bagi memperkukuh kerjasama penyelidikan serta pembangunan teknologi hidrogen.
Menurut beliau, penubuhan hab tersebut juga bertepatan dengan ulang tahun penubuhan Institut Sel Fuel yang kini memasuki lebih dua dekad sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang berkenaan.
Sepanjang tempoh tersebut, institut berkenaan telah membina jaringan penyelidikan dengan pelbagai institusi antarabangsa termasuk di Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat, sekali gus memperkukuh mobiliti penyelidik, pertukaran kepakaran dan kerjasama penyelidikan bertaraf global.
Sementara itu, Prof. Dr. Xiaoyang Mao berkata penubuhan JMH2 merupakan sebahagian daripada strategi global universiti itu dalam membangunkan rangkaian penyelidikan antarabangsa berkaitan teknologi hidrogen.
Menurut beliau, UoY mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam penyelidikan hidrogen melalui penubuhan beberapa pusat penyelidikan khusus.
“Kami amat berbesar hati memilih UKM sebagai hab di ASEAN kerana Institut Sel Fuel merupakan antara institusi terbaik dalam bidang ini, bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ini.
“Hab ini akan menjadi platform untuk memperluaskan kerjasama penyelidikan, mempercepat pemindahan teknologi kepada industri serta membangunkan modal insan.
“Kami juga sedang meneroka penubuhan program dwiijazah untuk memupuk generasi pakar hidrogen yang seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, jaringan tersebut turut melibatkan rakan industri antarabangsa termasuk syarikat automotif Jepun serta dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem teknologi hidrogen yang lebih mampan di rantau Asia.


