Kanak-Kanak dan Remaja di Malaysia Kurang Aktif Secara Fizikal

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 23 Jun 2023 – Hasil penemuan daripada ‘Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-Kanak Dan Remaja Malaysia 2022’, menunjukkan bahawa kanak-kanak dan remaja di Malaysia mencapai gred D minus (D-) untuk keseluruhan aktiviti fizikal, terutamanya dalam era pasca pandemik.

Penemuan itu adalah hasil kerjasama penyelidikan dari  Active Healthy Kids Global Alliance (AHKGA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Sun Life Malaysia.

Menurut Pengerusi AHKGA, Prof Madya Dr. Mohd Razif Shahril, kebanyakan gred yang terdapat dalam kad laporan itu adalah hampir sama dengan gred pada tahun 2016, sekali gus memberi gambaran tiada penambahbaikan pada penunjuk aktiviti fizikal sejak ia dimulakan empat tahun lalu.

Beliau berkata bagi Global Matrix 4.0, apabila dibandingkan dengan 57 negara lain, Malaysia menduduki tangga ke-34, iaitu di bawah Singapura, India, Jepun dan beberapa lagi negara Asia yang lain bagi pencapaian gred aktiviti fizikal secara keseluruhan.

“Penunjuk ini digred berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017, di mana hanya satu dari lima remaja Malaysia atau 19.8 peratus (%) yang berumur 13 hingga 17 tahun dilaporkan aktif secara fizikal sekurang-kurangnya 60 min sehari selama lima hari atau lebih dalam seminggu.

“Jadi, agak rendah berbanding dengan negara-negara tersebut. Justeru itu, kita kena ada tindakan segera dari semua pihak berkepentingan dan bukan hanya bergantung kepada KKM (Kementerian Kesihatan) atau universiti sahaja.

“Semua orang termasuk komuniti dan ibu bapa perlu terlibat untuk meningkatkan gred ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-Kanak Dan Remaja Malaysia 2022, di sini.

Sementara itu, Pro Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid berkata hasil daripada kad laporan itu boleh dijadikan sebagai penanda aras kepada negara, iaitu sejajar dengan hasrat UKM menjadi sebuah universiti yang memfokuskan kepada penyelidikan yang komprehensif.

“UKM sangat menyokong keberhasilan kad laporan ini. UKM mempunya penyelidik yang hebat yang sering menempa kejayaan penyelidikan dalam bidang masing-masing.

“Hasilnya, pelbagai geran antarabangsa, geran industri dan geran kebangsaan berjaya diperoleh, antaranya adalah geran bagi projek kad laporan ini yang disumbangkan oleh Sun Life Assurance Company of Canada,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia, Ho Teck Seng berkata syarikat tersebut berbesar hati untuk menyokong kad laporan itu kerana topik tersebut sejajar dengan tujuan perniagaan mereka dalam membantu orang ramai menikamati kehidupan yang lebih sihat. “Kami berharap dapat membantu menyumbang kepada keseluruhan hasrat AHKGA untuk menggalakkan gaya hidup sihat kanak-kanak melalui kepimpinan pemikiran, pembangunan kapasitu, advokasi dan kesedaran,” ujarnya.

Leave a Reply