Kanser Kepala Dan Leher : Jangan Abaikan Tanda Awal, Rawatan Awal Mampu Menyelamatkan Nyawa

Oleh : Dr Khairil Afif Mahmud, MB ChB (Otago), Dr. ORL-HNS (UKM), Fellow Pembedahan Kepala dan Leher, Pensyarah dan Pakar Otorinolaringologi-Pembedahan Kepala dan Leher, Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia

“Saya sangka ulser itu hanya luka biasa.”

Itulah antara ungkapan yang sering didengari oleh doktor apabila bertemu pesakit kanser kepala dan leher. Ada yang menunggu berbulan-bulan kerana menyangka suara serak hanyalah akibat cuaca, ketulan di leher hanyalah bengkak biasa atau kesukaran menelan akan pulih dengan sendirinya. Malangnya, apabila mendapatkan rawatan, penyakit telah berada pada tahap yang lebih serius.

Situasi seperti ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Malah, ia menjadi antara sebab utama mengapa ramai pesakit kanser kepala dan leher dikesan pada peringkat lewat. Masyarakat diseru agar lebih peka terhadap penyakit ini kerana pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa dan meningkatkan peluang untuk sembuh.

Kanser kepala dan leher merangkumi kanser yang berlaku di bahagian mulut, lidah, tekak, laring (peti suara), hidung, sinus, kelenjar air liur serta nodus limfa di leher. Penyakit ini boleh menyerang sesiapa sahaja, namun risikonya lebih tinggi dalam kalangan individu yang merokok, pengambilan alkohol atau dijangkiti virus Human Papillomavirus (HPV).

Apa yang membimbangkan ialah simptom awalnya sering kelihatan ringan sehingga ramai mengabaikannya. Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah:

1. Ulser mulut yang tidak sembuh melebihi dua minggu.

    2. Ketulan pada leher.

    3. Suara serak berpanjangan.

    4. Sukar atau sakit ketika menelan.

    5. Pendarahan daripada mulut atau hidung tanpa sebab yang jelas.

    6. Sakit tekak yang berlarutan.

    7. Sekiranya gejala ini berterusan, pemeriksaan oleh doktor amat penting. Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius.

    Rawatan kanser kepala dan leher bukan sekadar membuang ketumbuhan. Kawasan yang terlibat mempunyai fungsi yang sangat penting seperti bercakap, bernafas, menelan, merasa dan penampilan wajah. Oleh sebab itu, setiap rawatan memerlukan perancangan yang teliti dan kerjasama pelbagai disiplin kepakaran.

    Di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pesakit dirawat melalui Head & Neck Oncosurgery and Reconstruction Team, iaitu pasukan khas yang menghimpunkan pakar daripada bidang Otorinolaringologi–Pembedahan Kepala dan Leher (ORL-HNS), Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Pembedahan Mulut dan Maksilofasial (OMFS), serta Onkologi.

    Pendekatan multidisiplin ini membolehkan setiap pesakit menerima pelan rawatan yang disesuaikan mengikut keadaan penyakit, bukan sahaja untuk menghapuskan kanser, malah mengekalkan fungsi penting seperti pertuturan, proses menelan dan penampilan wajah sebaik mungkin.

    Sebagai hospital universiti, HCTM UKM bukan sekadar menyediakan rawatan kepada pesakit. Hospital ini turut memainkan peranan penting dalam melatih doktor pakar, menjalankan penyelidikan klinikal dan membangunkan inovasi dalam bidang perubatan.

    Setiap keputusan rawatan adalah berasaskan bukti saintifik terkini (evidence-based medicine), sekali gus memastikan pesakit menerima rawatan yang selaras dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

    Penyelidikan yang dijalankan bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit di HCTM, malah turut menyumbang kepada pembangunan ilmu perubatan negara serta meningkatkan kualiti rawatan pada masa hadapan.

    Membantu Mengurangkan Beban Sistem Kesihatan Negara

    HCTM UKM juga berperanan sebagai pusat rujukan bagi kes-kes kanser kepala dan leher yang kompleks.

    Pesakit dari pelbagai hospital dirujuk ke HCTM untuk mendapatkan penilaian lanjut dan menjalani pembedahan yang memerlukan kepakaran khusus. Peranan ini membantu mengurangkan tekanan terhadap hospital-hospital lain di samping memastikan pesakit memperoleh rawatan tepat pada masanya.

    Kerjasama antara hospital kerajaan, hospital universiti dan institusi kesihatan merupakan asas penting dalam memperkukuh sistem rawatan kanser negara.

    Kesedaran Adalah Rawatan Pertama

    Walaupun teknologi perubatan semakin maju, kejayaan rawatan masih bergantung kepada satu perkara yang sangat penting iaitu pengesanan awal. Semakin awal kanser dikenal pasti, semakin tinggi peluang untuk dirawat dengan berkesan, mengurangkan komplikasi dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.

    Justeru, masyarakat perlu mengubah sikap daripada ‘tunggu dan lihat’ kepada ‘periksa dan bertindak’. Jangan anggap semua simptom sebagai perkara biasa. Kesedaran bukan sekadar mengetahui tentang penyakit, tetapi bertindak sebelum terlambat.

    Sempena Hari Kanser Kepala dan Leher Sedunia, marilah kita bersama-sama meningkatkan kesedaran, menyokong usaha pengesanan awal dan menghargai peranan petugas kesihatan yang sentiasa komited memberikan rawatan terbaik kepada pesakit, kerana dalam perjuangan melawan kanser, setiap hari yang tidak ditangguhkan boleh menjadi peluang untuk menyelamatkan nyawa.

    Leave a Reply