Oleh Siti Aisyah Wahama
Foto Izwan Azman
BANGI, 18 Ogos 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warganya dengan mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 dan Kibar Jalur Gemilang.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh.
Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Sufian mengingatkan warga universiti tentang pengorbanan tokoh-tokoh dan matlamat asal penubuhan UKM yang berkait rapat dengan perjuangan memartabatkan negara.
“UKM lahir daripada sebuah perjuangan bangsa. Universiti ini tidak bermula sekadar daripada keperluan mewujudkan sebuah institusi pendidikan tinggi.
“UKM lahir daripada keyakinan bahawa sebuah negara yang merdeka perlu mempunyai keupayaan untuk membina ilmu, mengembangkan pemikiran dan mencorakkan masa depannya dengan jati diri sendiri,” kata beliau.
Menyentuh tentang hala tuju jangka panjang universiti, beliau menegaskan peranan pelan strategik TEKAD 57 dalam mempersiapkan pelapis kepimpinan bagi abad baharu kemerdekaan negara.
Jelas beliau: “TEKAD 57 bukan sekadar pelan strategik UKM bagi tempoh lima tahun iaitu 2026 hingga 2030, namun ianya membawa pandangan yang lebih jauh melampaui tempoh lima tahun tersebut.
“Ia menyediakan generasi muda hari ini yang akan membawa negara kita menuju tahun 2057, apabila Malaysia meraikan 100 tahun kemerdekaan.”
Dalam pada itu, UKM turut memperkenalkan satu paparan baharu di Persada Canselori yang mendedikasikan penghargaan buat tokoh-tokoh pengasas universiti yang telah banyak berkorban wang ringgit dan tenaga demi merealisasikan penubuhan universiti ini.
Mengulas lanjut mengenai paparan tersebut, Prof. Dato’ Dr. Sufian menyeru generasi kini, khususnya warga UKM, untuk menyambung legasi yang ditinggalkan.
“Paparan ini bukan sekadar poster, malah merupakan tanda penghargaan kepada mereka yang percaya bahawa sebuah bangsa yang merdeka mesti mempunyai keberanian untuk membina institusi ilmunya sendiri.
“Maka menjadi tanggungjawab generasi kita untuk memastikan amanah ini terus hidup, dengan memperkukuh ilmu, memartabatkan Bahasa Melayu, membina teknologi, melahirkan pemimpin dan memajukan negara dengan semangat serta jati diri yang tinggi,” tambahnya.
Bagi memeriahkan lagi sambutan sepanjang bulan kemerdekaan ini, UKM akan menganjurkan pelbagai program termasuklah Kempen Kibar Jalur Gemilang UKM dan Ekspedisi Kayak Merdeka.
Sebagai simbolik pelancaran kempen, kemuncak majlis menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang oleh Naib Canselor kepada barisan pengurusan universiti serta wakil pelajar.

