Karnival Konvokesyen UKM Raih Sambutan Luar Biasa

Oleh Fazrinah Sadiq dan Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 Disember 2023 – Karnival Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-51 mendapat sambutan yang luar biasa dengan kira-kira 10,000 pengunjung yang terdiri daripada pelajar, alumni, kakitangan UKM serta masyarakat setempat.

Pada tahun ini, kepercayaan diberikan sepenuhnya kepada Sekretariat Karnival Konvokesyen terdiri daripada pelajar-pelajar UKM untuk mengendalikan Karnival tersebut yang telah berlangsung selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 November.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman berkata seiring dengan visi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan pendidikan tinggi negara mencapai standard kecemerlangan global, adalah penting untuk mengintegrasikan isu semasa ke dalam aktiviti dan program universiti.

“Karnival Konvokesyen ini membuka satu peluang untuk membincangkan dan meningkatkan kesedaran terhadap isu yang mempengaruhi sektor pendidikan tinggi kita.

“Penting juga untuk mengetengahkan peranan karnival dalam memupuk semangat keusahawanan di kalangan pelajar.

“Dalam era ekonomi yang berubah dengan cepat, keupayaan untuk berinovasi dan mencipta peluang perniagaan adalah aspek yang semakin penting,” jelasnya ketika menyempurnakan majlis penutup Karnival Konvokesyen.

Beliau turut memuji segala usaha yang dijalankan oleh Sekreteriat Karnival Konvokesyen untuk menjayakan karnival kali ini. 

Majlis Penutupan turut diserikan lagi dengan persembahan pertunjukkan bunga api dan nyanyian oleh artis tanah air iaitu Ernie Zakri dan Syamel.

Leave a Reply