Kecemerlangan Sukan Perlu Libatkan Perancangan dan Pelaksanaan Dasar yang Menyeluruh – TKSU KPT

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 11 Januari 2024 – Kecemerlangan sukan di semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tidak boleh dicapai semata-mata hanya dengan memiliki atlet berbakat, jurulatih dan pengurus berpengalaman serta kemudahan yang sempurna, tetapi perlu melibatkan perancangan dengan pelaksanaan dasar dan strategi yang menyeluruh.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohamad Azhan Md Amir berkata perancangan dengan pelaksanaan dasar tersebut sekaligus menjadi panduan komprehensif ke arah meningkatkan kecemerlangan sukan seiring dengan pembangunan dan kemajuan sukan tanah air.

“KPT akan terus memberikan sokongan kepada atlet-atlet IPT untuk memacu kejayaan dalam bidang sukan dengan melantik tujuh IPT sebagai Program Kecemerlangan Sukan (PKS) dan 13 Pusat Sukan Tumpuan (PST) membabitkan lebih kurang 11 lagi IPT.

“Kewujudan PKS dan PST ini telah terbukti membawa kejayaan yang besar dan menepati objektif Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (DPSIPT).

“DPSIPT yang dilancarkan pada 2009 itu kini dalam proses semakan terakhir untuk kita memperkemaskannya dan insyaallah akan dilancarkan semula sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Anugerah Sukan UKM 2023, di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM.

Katanya, pada tahun ini, atlet IPT dan kontinjen Universiti Malaysia akan menyertai Temasya Sukan Universiti Asean (AUG) yang akan berlangsung di Surabaya dan Malang, Indonesia pada Jun 2024.

“Saya berharap kepada atlet-atlet UKM untuk merebut peluang ini untuk terpilih mewakili negara. Pada waktu yang sama, saya juga berharap Kontinjen Universiti Malaysia akan bersiap lebih awal dan bersungguh-sungguh agar kita akan terus mengekalkan kecemerlangan seperti menduduki tempat kedua keseluruhan dengan 49 pingat emas di belakang tuan rumah Thailand sewaktu AUG di Ubon Ratchathani dua tahun lalu,” ujarnya.

Beliau juga percaya bahawa kejayaan cemerlang atlet di peringkat negara tidak akan tercapai tanpa sokongan yang kuat daripada pihak pengurusan universiti.

“Sesungguhnya, kejayaan yang dilakar oleh para atlet UKM bukan sahaja meletakkan UKM di pentas sukan Malaysia, malah juga telah membuka mata peminat sukan mengenai keupayaan atlet UKM yang menjadi aset penting dalam mengharumkan nama di pentas Antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman dalam ucapannya berharap penganugerahan itu akan  terus menyuntik semangat, mencetus inspirasi dan menjadi platform dalam meningkatkan kecemerlangan sukan warga UKM. 

Pada majlis itu, sebanyak 23 kategori anugerah diberikan kepada pelajar dan kakitangan, antaranya adalah Anugerah Juara Warna Emas dan Juara Warna Perak, Anugerah Pasukan Terbaik, Anugerah Pengurus Terbaik, Anugerah Atlet Cemerlang, Anugerah Tokoh Sukan dan anugerah utama – Anugerah Olahragawan dan Olahragawati.

Majlis tersebut telah mengiktiraf Iza Nur Fitriana Mohd Nor dari sukan Bola Tampar  sebagai Olahrawati Kakitangan, Mohd Muqlis Borhan dari sukan Sepak Takraw pula diumumkan sebagai Olahragawan Kakitangan.

Sementara itu, bagi kategori pelajar, Dina Batrisyia Adi Azhar dari sukan Menembak telah dinobatkan sebagai Olahrawati Pelajar dan Khairol Shazrime Shamsaimon dari sukan Bola Tampar diumumkan sebagai  Olahrawan Pelajar.

Leave a Reply