Oleh Siti Aisyah Wahama
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 8 Ogos 2026 – Penganjuran International Conference on Science and Technology Applications in Climate Change (STACLIM 2026) yang menghimpunkan para penyelidik, penggubal dasar dan ahli industri menjadi platform perbincangan isu dan penyelesaian krisis iklim global.
Persidangan anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Institut Perubahan Iklim (IPI) itu membawa tema ‘Beyond 1.5°C: Transforming Commitments into Action for a Climate Safe World’, yang bertindak sebagai platform strategik bagi memperkukuh kolaborasi serta memajukan pengetahuan saintifik dalam mendepani antara cabaran terbesar dunia masa kini, iaitu perubahan iklim.
Majlis perasmian persidangan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa keutamaan mendesak pada masa kini adalah membina daya tahan manusia untuk terus bertahan menghadapi kerosakan alam yang sedang berlaku.
“Kita perlu mempercepatkan tindakan kita. Masalah iklim bukan sekadar tentang pengurangan pelepasan karbon, tetapi mengenai kesedaran komuniti dan masyarakat,” tegas beliau.
Mengulas lanjut mengenai tema persidangan tersebut, beliau menyifatkan bentuk pemanasan global pada masa kini sebagai satu titik kritikal yang boleh membahayakan masa hadapan dan kelangsungan hidup manusia.
“Istilah beyond dalam tema itu adalah satu petanda kecemasan bahawa kita kesuntukan masa. Kita tidak boleh hanya fokus pada mengukur dan melapor, atau sekadar membuat kajian makmal untuk diterbitkan dalam kertas kerja.
“Persidangan pada hari ini diharap dapat menjana idea-idea baharu yang bukan sahaja memanfaatkan institusi masing-masing, malah turut memberi kebaikan kepada komuniti global,” katanya.
Persidangan ini turut menampilkan penceramah antarabangsa, Prof. Dr. Shabbir H. Gheewala dari King Mongkut’s University of Technology Thonburi, Bangkok, Thailand.

