Oleh Siti Aisyah Mohd Wahama dan Melor Suria Minhat
Foto Izwan Azman
BANGI, 27 Julai 2026 – Pendekatan menginsankan teknologi perlu dijadikan asas dalam pembangunan teknologi agar kemajuan yang dicapai sentiasa berpaksikan nilai kemanusiaan, etika dan tanggungjawab, kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Dr. Fariza Md Sham, FASc.
Beliau berkata istilah menginsankan teknologi dipilih berbanding memanusiakan teknologi kerana konsep insan mengangkat martabat manusia yang lebih tinggi dari sudut kemuliaan, kebertanggungjawaban dan akauntabiliti terhadap penciptaan sesuatu teknologi.
Menurut beliau, pembangunan teknologi perlu diseimbangkan dengan pembinaan ekosistem ilmu yang mampu membentuk masyarakat berfikiran kritis dalam mendepani perkembangan teknologi yang semakin pesat.
“Hasrat pembinaan ekosistem ini selari dengan Pelan Strategik TEKAD 57 UKM yang komited memperkasakan pendidikan dan penyelidikan dalam bidang berteraskan masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Serantau Peradaban Islam Ke-5 (SSPI 2026) yang dianjurkan oleh Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.
Bertemakan Menginsankan Teknologi dalam Peradaban Islam, seminar itu menjadi platform kepada ahli akademik, penyelidik dan pelajar pascasiswazah untuk bertukar idea, berkongsi hasil penyelidikan serta memperkukuh kerjasama akademik dalam pelbagai disiplin berkaitan isu-isu semasa.
Seminar ini merupakan kesinambungan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta, Universitas Al-Amien Prenduan Madura, UIN Kiai Haji Achmad Siddiq Jember dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam dalam memperkukuh jaringan akademik dan penyelidikan di rantau Asia Tenggara.
Seramai 77 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, pelajar dan pemegang taruh dari beberapa negara Asia Tenggara menyertai seminar yang membincangkan pelbagai isu berkaitan peradaban Islam dan pembangunan teknologi berteraskan nilai kemanusiaan.
Turut hadir ialah Rektor Universitas Al-Amien Prenduan, Dr. Kiai Haji Muhtadi Abdul Mun’im; Pemangku Rektor UIN Kiai Haji Achmad Siddiq Jember, Prof. Dr. Phil. Sahiron; Pemangku Pengarah Institut Islam Hadhari merangkap Pengerusi SSPI 2026, Dr. Norshariani Abd. Rahman; serta wakil universiti penganjur. Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Dato’ Jefridin Atan turut mengikuti seminar ini secara dalam talian.


