Oleh Zainal Asnawi Asyraf
SEPANG, 1 Ogos 2026 – Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyantuni komuniti Orang Asli di Kampung Sungai Melut (A), Sepang, baru-baru ini, melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Penjagaan Kesihatan Mulut.
Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Pergigian, Prof. Madya Dr. Hsu Zenn, program CSR itu diadakan bagi meningkatkan akses komuniti kepada perkhidmatan kesihatan pergigian serta memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mulut.
Beliau berkata program yang diadakan dengan kerjasama strategik Yayasan Hartalega membuktikan bahawa kolaborasi antara universiti dan rakan industri mampu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Melalui sinergi kepakaran dan sumber yang dimiliki oleh setiap pihak, kita bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kesedaran kesihatan mulut dalam kalangan komuniti, malah memperkukuh budaya kesukarelawanan,” katanya.
Beliau berkata program itu mencerminkan komitmen Fakulti Pergigian dalam memperkasa agenda tanggungjawab sosial universiti melalui penyampaian perkhidmatan berasaskan kepakaran, di samping memperkukuh jaringan kerjasama bersama sektor industri bagi melaksanakan inisiatif kesejahteraan masyarakat secara mampan.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, Yayasan Hartalega turut menyumbangkan 560 kotak sarung tangan Colloidal Oatmeal System (COATS) bagi menyokong program khidmat komuniti Fakulti Pergigian.
Selain itu, Yayasan Hartalega dengan kerjasama Real Barber Academy turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada hampir 30 orang komuniti Orang Asli.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk pemeriksaan pergigian secara percuma, pendidikan dan promosi kesihatan mulut serta demonstrasi teknik memberus gigi yang betul khasnya kepada kanak-kanak orang asli.
Turut hadir ialah Ketua Jabatan Perhubungan Kerajaan dan Komuniti, CSR Yayasan Hartalega, Melissa Majid dan Ketua Jaringan Industri dan Komuniti, Fakulti Pergigian, Prof. Madya Dr. Haslina Rani.

