BANGI – Seramai 104 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima bantuan kewangan dan komputer riba bernilai keseluruhan RM101,580 menerusi Tabung Kebajikan & Pelajaran YAPEIM (TKPY).
Inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC) dan Kolej Keris Mas (KKM) bagi membantu meringankan kos sara hidup dan yuran pengajian serta menyediakan kemudahan pembelajaran kepada pelajar yang memerlukan.
Pengurus Besar TKPY, Dr. Shamsul Azhar Yahya, berkata seramai 59 pelajar menerima bantuan sara hidup sebanyak RM1,000 seorang, melibatkan jumlah keseluruhan RM59,000.
Daripada jumlah tersebut, 44 penerima merupakan pelajar Kolej Keris Mas, manakala 15 lagi terdiri daripada pelajar kolej kediaman lain di UKM.
“Ia bertujuan memberikan sokongan kepada pelajar dalam memenuhi keperluan pendidikan, di samping meringankan beban kewangan yang ditanggung sepanjang tempoh pengajian,” katanya.
Selain itu, bantuan yuran pengajian berjumlah RM22,680 disalurkan kepada 36 pelajar Kolej Keris Mas, manakala dua pelajar daripada kolej kediaman lain menerima bantuan berjumlah RM2,400.
Tujuh pelajar yang memerlukan kemudahan pembelajaran pula menerima sumbangan komputer riba bernilai keseluruhan RM17,500.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Ts. Dr. Hj. Norinsan Kamil Othman.
Beliau berkata bantuan tersebut mencerminkan komitmen UKM untuk memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberikan perhatian, terutama bagi pelajar yang berhadapan dengan kekangan kewangan.
“UKM mahu memastikan tiada pelajar yang tercicir atau terpaksa mengorbankan pengajian hanya kerana berhadapan dengan kesukaran kewangan. Bantuan ini bukan sekadar meringankan beban, malah memberikan keyakinan kepada mahasiswa bahawa mereka tidak bersendirian sepanjang berada di universiti.
“Kerjasama antara TKPY, FPSC dan Kolej Keris Mas merupakan contoh bagaimana sinergi antara universiti dengan rakan strategik dapat diterjemahkan kepada bantuan yang memberikan impak secara langsung kepada mahasiswa,” katanya.
Timbalan Dekan Akademik FPSC, Prof. Dr. Nazri Muslim, berkata tanggungjawab sesebuah fakulti tidak hanya tertumpu kepada penyampaian ilmu di dalam bilik kuliah, sebaliknya turut merangkumi kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan mahasiswa secara menyeluruh.
“Kecemerlangan akademik seseorang pelajar sangat berkait rapat dengan kestabilan kewangan, emosi dan persekitaran kehidupannya. Apabila keperluan asas mereka dibantu, pelajar dapat memberikan tumpuan yang lebih baik kepada pembelajaran dan pembangunan diri.
“Kerjasama FPSC dan Kolej Keris Mas membolehkan pelajar FPSC sahaja tetapi pelajar UKM yang benar-benar memerlukan dikenal pasti serta disantuni sebab fakulti kami mengajar kursus wajib dan rentas untuk seluruh UKM, jadi kerjasama erat dengan Kolej Keris Mas amatlah dihargai. Kami juga amat menghargai kesediaan TKPY untuk bersama-sama membantu mahasiswa UKM membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Pengetua Kolej Keris Mas, Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham, berkata inisiatif tersebut bermula daripada keprihatinan pihak kolej dan fakulti terhadap cabaran sebenar yang dihadapi pelajar, khususnya ketika memulakan pengajian di universiti.
“Sebagai sebuah kolej kediaman, tanggungjawab kami bukan sekadar menyediakan tempat tinggal. Kolej perlu menjadi keluarga pertama yang menyambut, melindungi dan membantu mahasiswa ketika mereka melangkah masuk ke UKM.
“Melalui kerjasama erat antara FPSC dan Kolej Keris Mas, kami dapat mengenal pasti pelajar yang memerlukan secara lebih dekat sebelum menghubungkan mereka dengan bentuk bantuan yang bersesuaian daripada TKPY.
“Bantuan ini bukan sekadar angka atau sumbangan material. Di sebalik setiap bantuan terdapat seorang mahasiswa yang kini boleh meneruskan pengajian dengan lebih tenang dan sebuah keluarga yang dapat menarik nafas lega,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu turut membuktikan bahawa fakulti dan kolej kediaman boleh memainkan peranan secara bersama dalam membentuk ekosistem kampus yang lebih prihatin, inklusif serta berorientasikan kesejahteraan mahasiswa.
Pada majlis sama, YAPEIM dan TKPY turut merakamkan penghargaan kepada 675 warga UKM yang menyumbang menerusi skim infak gaji dengan jumlah hampir RM143,000 setahun.
Sumbangan tersebut membolehkan dana yang dikumpulkan disalurkan semula kepada UKM dalam bentuk bantuan pendidikan untuk manfaat pelajar yang memerlukan.

