Kerjasama penyelidikan antara MTCC dan LESTARI UKM beri hasil positif kepada amalan pengurusan hutan

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 15 Mac 2023 – Kerjasama yang terjalin antara Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) dengan  Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (LESTARI-UKM) telah memberi hasil positif kepada amalan pengurusan hutan, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri  Fadillah Yusof.

Beliau yang juga merupakan Menteri Perladangan Dan Komoditi berkata kerjasama dua institusi itu dalam menghasilkan kajian bertajuk “Impak MTCS terhadap Pengurusan hutan, Industri dan Perdagangan” sejak pelaksanaannya dua dekad yang lalu telah diabiayai oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

“Saya gembira apabila mengetahui MTCC dan LESTARI UKM menjalan kajian ini. Saya dimaklumkan bahawa terdapat kemajuan yang menakjubkan dan hasil positif terhadap kesan pensijilan untuk memangkin penambahbaikan dalam amalan pengurusan hutan dan proses hiliran dalam industri perkayuan,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian International Conference on Timber Certification: Exploring Future Frontiers di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Beliau berkata di peringkat global, Malaysia diletakkan sebagai salah satu daripada sepuluh teratas dalam kawasan hutan yang diperakui dan mendahului dalam kalangan negara tropika.

“Berdasarkan rekod prestasinya sepanjang 20 tahun yang lalu, terutamanya selepas pengesahannya oleh  PEFC (Programme for the Endorsement of Forest Certification), MTCS (Skim Pensijilan Kayu Malaysia) kini diiktiraf sebagai salah satu skim pensijilan kayu terkemuka untuk hutan tropika.

“Pelaksanaan MTCS menyokong penuh visi dan dasar kerajaan untuk kemampanan seperti Dasar Perhutanan Malaysia 2020, Dasar Komoditi Pertanian Negara 2030 (DAKN2030) dan Dasar Kebangsaan Kepelbagaian Biologi 2016-2025,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, Kerajaan Sabah dan Sarawak juga telah mengumumkan komitmen mereka dalam memastikan pelaksanaan Pengurusan Hutan Lestari (SFM) dengan mewajibkan semua pemegang konsesi hutan mendapatkan pensijilan.

“Saya berbesar hati untuk ambil perhatian bahawa terdapat penambahbaikan berterusan dalam peraturan, prosedur dan garis panduan untuk menyediakan pematuhan yang lebih baik mengikut piawaian pensijilan,” katanya.

Dengan pelbagai topik yang dibincangkan dalam persidangan tersebut yang melibatkan penceramah tempatan dan antarabangsa, katanya, beliau amat berharap semua peserta dapat meneroka peluang baharu dengan meluaskan pasaran masa depan bagi produk kayu yang diperakui dan meningkatkan imej industri perkayuan Malaysia di peringkat global.

“Dengan penyertaan aktif, saya pasti persidangan ini dapat memberikan kerjasama yang lebih baik dalam kalangan semua pemain industri kayu Malaysia dan antarabangsa,” ujarnya.

Persidangan dua hari itu menghimpunkan 200 peserta dari beberapa negara termasuk Jepun, Switzerland, Vietnam, Amerika Syarikat, Australia, Afrika dan Malaysia.

Persidangan tersebut adalah anjuran bersama antara MTCC dan LESTARI-UKM dengan sokongan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dan MTIB.

Turut hadir ke persidangan ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Zurinah Pawanteh dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani.

Leave a Reply