Kerjasama UKM dan MAC Bangunkan Pelantar Pendidikan Tinggi Micro Credential ‘Kolektif’

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

PUTRAJAYA, 15 Jun 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Academic Consortium (MAC) bekerjasama dalam menjayakan program micro credentials melalui platform yang lebih terbuka dan bersepadu yang dikenali sebagai Pelantar Micro Credential ‘Kolektif’.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata keunikan halatuju UKM bersama MAC adalah kaedah penyampaian perkhidmatan yang diberikan melalui micro-credentials yang akan menggunakan automasi dan teknologi baharu seperti Artificial Intelligence.

Tambahnya, UKM akan menawarkan kursus-kursus di pelantar micro-credentials ‘Kolektif’ ini untuk mata pelajaran umum.

“Pendekatan pembelajaran melalui platform ini juga akan memberikan penjimatan yang ketara kepada UKM dan institusi pendidikan tinggi (IPT) yang lain di samping melonjakkan inovasi pembelajaran sedia ada dengan kebolehan digital dan teknologi terkini.

 “Inisiatif ini bertepatan dengan salah satu daripada 11 agenda utama Kementerian Pendidikan tinggi (KPT) iaitu pembangunan prasarana digital yang menyeru sektor pendidikan tinggi bagi mengurus pelbagai perubahan dan ledakan teknologi seiring dengan perubahan semasa,” katanya.

Turut berlangsung pada majlis ini adalah acara menandatangani Surat Niat (Letter of Intent) dengan beberapa IPT untuk bersama-sama memberi sumbangan terhadap pembangunan modul bagi menjayakan pelantar ini.

Pada majlis sama, turut diadakan acara penandatanganan Surat Niat bersama-sama sembilan IPT antaranya Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk bersama-sama memberi sumbangan terhadap pembangunan modul bagi menjayakan pelantar ini. Majlis pra pelancaran pelantar ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Leave a Reply