KPT Lancar Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman     

GOMBAK, 15 Jun 2023 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023-2030.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, pelan itu dibangunkan susulan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT 2011-2015.

Katanya, pelan itu juga susulan satu Kajian Penggunaan Bahasa di IPTA yang dijalankan pada tahun 2010 yang mendapati penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di dalam program pengajian IPTA berada pada tahap yang berbeza-beza merentasi pelbagai disiplin program.

“Justeru, KPT mengambil pendirian bahawa satu intervensi mesti dilakukan bagi meningkatkan kedudukan Bahasa Melayu dan meletakkannya di kedudukan yang penting dalam ekosistem pendidikan tinggi,” ujarnya.

Menurutnya, pihak kementerian percaya bahawa IPTA adalah salah satu daripada pentas penting dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu atas beberapa sebab.

“Antaranya, IPTA mempunyai tanggungjawab untuk bersama-bersama kerajaan menggalas misi nasional. IPT tidak boleh melihat institusinya terpisah daripada agenda nasional.

“Tindakan golongan bijak pandai adalah suri teladan terbaik kepada masyarakat. universiti mesti menunjukkan dengan jelas, dan tegas, kepentingan Bahasa Melayu dan potensinya sebagai bahasa ilmu.

“Universiti mempunyai potensi dalam membangun kekuatan Bahasa Melayu dan pengunaan Bahasa Melayu harus merentas disiplin ilmu dan bukan sekadar medium pengantar untuk pembelajaran berkaitan bahasa atau budaya orang Melayu sahaja,” katanya.

Tambahnya, KPT akan turut memanjangkan inisiatif-inisiatif dalam memartabatkan dan mengukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ke Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) secara berperingkat-peringkat. Turut hadir bagi menerima Pelan Tindakan ini adalah Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Leave a Reply