Kesedaran Cegah Jatuh Penting untuk Kelangsungan Mobiliti Warga Emas

Oleh Siti Aisyah Mohd Wahama
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Ogos 2026 – Insiden terjatuh dalam kalangan warga emas sering dianggap sebagai proses penuaan yang tidak boleh dielakkan.

Hakikatnya, sekiranya tidak dicegah, jatuh boleh membentuk kitaran kemerosotan yang berbahaya. Warga emas mungkin mula takut untuk bergerak, yang menyebabkan kekuatan otot keseimbangan mereka merosot lalu meningkatkan lagi risiko untuk jatuh semula.

Berikut adalah sebahagian daripada intipati Syarahan Perdana Profesor bertajuk ‘Pencegahan Risiko Jatuh: Mengoptimumkan Mobiliti dan Kemandirian Warga Emas’ yang disampaikan oleh Prof. Dr. Devinder Kaur Ajit Singh dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UKM, hari ini.

Menurut beliau, isu jatuh dalam kalangan warga emas merupakan satu ‘epidemik senyap’ yang sering diabaikan kerana masih wujud persepsi salah bahawa kejadian jatuh adalah sebahagian daripada takdir proses penuaan yang tidak boleh diubah.

“Kejadian jatuh pertama bukan kemalangan yang boleh diabaikan, tetapi sebenarnya merupakan titik kritikal yang amat penting untuk dikenal pasti sebagai peluang klinikal.

“Tindakan selepas jatuh pertama mungkin akan memutuskan kitaran kemerosotan fungsi. Jika kita menunggu jatuh berulang, kita mungkin berdepan kerentanan yang jauh lebih sukar untuk dipulihkan,” jelas beliau.

Bagi menterjemahkan bukti penyelidikan kepada tindakan komuniti, beliau mengetengahkan program senaman WE-SURF (Warga Emas Steady, Upright and Firm) yang dibangunkan khusus untuk warga emas Malaysia bagi meningkatkan keseimbangan, kekuatan otot dan daya tahan.

Di samping itu, beliau turut memperkenalkan inovasi digital kesihatan menerusi aplikasi mudah alih FallSA (kini dalam versi FallSA 3.0) untuk menyokong saringan awal, penilaian kendiri dan intervensi digital yang mesra pengguna.

Melalui gabungan penyelidikan selama lebih dua dekad, Prof. Dr. Devinder turut mengasaskan teori STRIDE (Synchronized Trajectory Resilience Independence and Digital Engagement) bagi menggerakkan sistem penjagaan warga emas daripada bersifat reaktif kepada proaktif dengan bantuan teknologi digital.

“Dalam negara yang semakin menua, ukuran kejayaan kita bukan hanya berapa banyak jatuh yang dapat dielakkan.

“Ukuran yang lebih bermakna ialah berapa ramai warga emas terus berdiri, berjalan dengan yakin, membuat pilihan sendiri, mengambil bahagian dalam masyarakat dan hidup dengan bermaruah,” ulas beliau.

Leave a Reply