Oleh Nur Athirah Assalah
HULU LANGAT, 19 Ogos 2026 – Seramai 350 murid Sekolah Kebangsaan Sungai Tekali, Hulu Langat menerima manfaat daripada Program Hidrasi Sekolah yang bertujuan meningkatkan akses kepada air minuman bersih serta menggalakkan amalan hidrasi yang lebih sihat dalam kalangan murid.
Program ini dilaksanakan oleh Water Wizard iaitu kumpulan pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, (UKM-GSB).
Menerusi slogan “Hydrate to Elevate”, program ini menggabungkan tiga komponen utama iaitu akses kepada air minuman bersih, pendidikan kesedaran hidrasi dan penggunaan botol air guna semula bagi membantu murid kekal terhidrat dalam rutin harian mereka.
Sebanyak 400 botol air guna semula telah diagihkan kepada murid, manakala tiga unit mesin penapis air Cuckoo King – Stand (L) tajaan Cuckoo International (MAL) Berhad dipasang di sekolah berkenaan.
Penajaan tersebut turut merangkumi pemasangan percuma serta penyelenggaraan selama tiga tahun, membolehkan manfaat akses kepada air minuman bersih diteruskan selepas program berakhir.
Ketua Projek Water Wizard, Raja Syahiran Syahmi Raja Samsul Bahri berkata, program itu bertujuan menangani isu hidrasi bukan sekadar dari sudut kesedaran, tetapi turut memberi penyelesaian kepada cabaran praktikal berkaitan akses kepada air minuman bersih.
“Justeru, kami memberi tumpuan kepada penyediaan akses kepada air minuman bersih, Pendidikan hidrasi dan botol air guna semula supaya murid mempunyai kemudahan dan pengetahuan untuk mengamalkan hidrasi yang lebih baik setiap hari.
“Program ini turut mengambil kira dapatan penyelidikan mengenai status hidrasi dalam kalangan murid di Malaysia.
“Satu kajian pada 2020 yang melibatkan 230 murid berumur 10 sehingga 14 tahun di Petaling Perdana, Selangor mendapati 59.6 peratus mengalami dehidrasi ringan atau sederhana, manakala hanya 33.0 peratus berada dalam keadaan terhidrat yang baik,” katanya.
Kajian tersebut turut mendapati skor kognitif secara signifikan lebih tinggi dalam kalangan murid yang terhidrat berbanding mereka yang mengalami dehidrasi,” jelasnya.
“Dapatan tersebut mengukuhkan pandangan kami bahawa kesedaran tentang hidrasi wajar dibentuk sejak bangku sekolah.
“Membina kesedaran tentang kepentingan air sejak awal dapat membantu membentuk tabiat yang bertanggungjawab dan lebih sihat untuk masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Tekali, Ronzi Zainal berkata: “Inisiatif ini selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat, sihat dan kondusif, di samping menggalakkan amalan hidrasi yang baik serta gaya hidup sihat dalam kalangan murid.”
Selain penyediaan kemudahan air, program ini turut merangkumi sesi ceramah kesedaran hidrasi yang disampaikan oleh Puan Norhaishah Harun, Pegawai Dietetik dari Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan, UKM.
Sesi tersebut memberi pendedahan kepada murid mengenai kepentingan pengambilan air yang mencukupi serta amalan praktikal untuk kekal terhidrat sepanjang hari.
Program Hidrasi Sekolah mencerminkan usaha pelajar MBA UKM-GSB untuk menerapkan pembelajaran dan kemahiran yang diperoleh di luar bilik kuliah melalui inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti.
Dengan menggabungkan kemudahan air, pendidikan dan botol air guna semula, program ini berusaha menjadikan amalan hidrasi sihat lebih mudah dan praktikal dalam kehidupan seharian murid.
