“Kita Anak Selangor” Capai Objektif Semarak Perpaduan Dalam Pendidikan

Berita dan foto oleh Amirul Ridzuan Mohd Shafie

BANGI, 29 September 2023 – Seramai 146 murid pelbagai kaum dari tadika dan tabika sekitar Sepang dan Hulu Langat menyertai  program “Kita Anak Selangor”  yang dianjurkan oleh Tunas UKM, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Program separuh hari itu diadakan melalui Geran Perpaduan “Kita Anak Selangor” yang diketuai oleh  Penyelaras & Ketua Operasi, Tunas UKM, Dr. Kamariah Abu Bakar.

Bertemakan “Perpaduan dalam Pendidikan”, program tersebut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Perpaduan, Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor (MPIS).

Penglibatan bersama KEMAS, Tabika Perpaduan, Apple King Kindergarten dan Makmal Pembelajaran Autisme UKM juga menjadi tonggak utama dalam menjayakan moto perpaduan ini. Secara keseluruhannya, kira-kira 230 murid daripada sembilan buah tadika dan tabika terlibat dengan program ini yang dijalankan sejak Mei hingga September 2023.

Sepanjang berlangsungnya program itu, ia telah berjaya menghasilkan kit pembelajaran “Kita Anak Selangor” yang dapat membantu menyuntik nilai-nilai positif dan semangat perpaduan melalui aktiviti di dalam dan di luar kelas.

Aspek pengenalan kepada pelbagai budaya melalui pakaian, makanan dan permainan yang terdapat di dalam kit tersebut berupaya memperkenalkan murid dengan kepelbagaian adat, tradisi dan budaya masyarakat Selangor.

Pelbagai acara dan pengisian menarik menjadi tarikan kanak-kanak termasuklah pertandingan pakaian beragam tradisional kaum-kaum di Selangor, pertandingan “Wajah Anak Selangor”, permainan rakyat, aktiviti seni dan kraf tangan.

Upacara perasmian dan pelancaran kit “Kita Anak Selangor” disempurnakan oleh  Dekan Fakulti Pendidikan, Prof. Dr. Mohd Mahzan Awang.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Mohd Mahzan menzahirkan rasa bangga dengan penganjuran program itu yang mendasari rasa kebersamaan dan perpaduan yang dipupuk sejak kecil lagi. Semoga Tunas UKM terus maju jaya dalam menganjurkan program berimpak tinggi dengan penglibatan yang lebih besar.

Leave a Reply