TNC HEPA Ingatkan ‘Pewaris Watan’ Gerakkan Visi dan Misi UKM

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 1 Oktober 2023 – Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Mohd Suzeren Md Jamil mengingatkan semua ‘pewaris watan’ (pelajar baharu) agar sentiasa menggerakkan visi dan misi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan dengan menggunakan peluang dan ruang yang ada di UKM untuk menonjolkan diri dalam segenap bidang.

Beliau berkata pelajar-pelajar baharu itu adalah pewaris watan yang telah terpilih daripada puluhan ribu yang memohon untuk melanjutkan pengajian di UKM.

“Anda dipilih dalam kalangan yang terbaik untuk ke universiti watan ini. Andalah yang perlu menggerakkan visi dan misi UKM (Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan) dan perlu bangkit bersama kami pihak pengurusan.

“Lebih 32,000 mahasiswa yang terdiri daripada 17,357 pelajar pra-siswazah dan 15,195 pasca-siswazah berada di sini (UKM). Kini, anda merupakan sebahagian warga UKM yang akan sama-sama berjuang dan memastikan UKM sentiasa berada di puncak kejayaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pembukaan Minggu Apresiasi Watan (MAW) & Interaksi bersama Pusat Tanggungjawab (PTj), di DECTAR, hari ini.

Beliau turut menjanjikan bahawa Minggu Apresiasi Watan (MAW) yang berlangsung sehingga Rabu ini menjadi program yang akan dikenang oleh semua mahasiswa baharu.

“Saya percaya pelajar-pelajar akan  enjoy dengan MAW. Enjoy program-program yang telah di susun kerana inilah masanya untuk anda semua pewaris watan dapat bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain.

“Lepas ni, semua akan membawa haluan dan tugasan masing-masing. Inilah masanya untuk kamu semua berada bersama dalam kumpulan, bersama kita merasai minggu MAW.

“Saya mengharapkan agar semua pewaris watan dapat memanfaatkan peluang yang ada dan jadilah seorang mahasiswa yang cemerlang, beraspirasikan kebangsaan, berkompeten, berdaya saing, beretika dan berinovatif.

“Insya-Allah saya dan keseluruhan warga UKM akan memberikan yang terbaik buat saudara dan saudari sekalian. Anda pewaris watan ini adalah warga UKM. Kita adalah satu pasukan yang sama-sama akan merealisikan kecemerlangan yang diimpikan dan akan menggalas mandat untuk Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan,” katanya. Pada program itu, beliau turut memperkenalkan pengurusan universiti yang melibatkan pengurusan pelajar seperti Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP), Pusat Perumahan Pelajar, Pusat Kebudayaan, Pusat Sukan, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Islam, Pusat Perhubungan Alumni, UKM-CESMED, Kesatria, dan Pengetua-Pengetua Kolej Kediaman.

Leave a Reply