Kongsi Ilmu Lagi Banyak Lagi Berkat – Syarifah Afiqah

Oleh Fazrinah Sadiq Dan Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 Disember 2023 – Penerima Anugerah Pelajaran Diraja di Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-51, Syarifah Afiqah Syed Shahrin beranggapan lebih banyak ilmu dikongsi lebih berkat ilmu tersebut.

Menurutnya, beliau suka untuk berkongsi ilmu dan berhasrat untuk menjadi seorang pensyarah yang berjaya suatu hari nanti.

“Saya berharap 10 tahun akan datang saya sudah memiliki Ijazah Sarjana untuk menjadi Doktor pakar kerana bagi saya sementara umur masih muda gunakan peluang tersebut untuk menimba ilmu semampu yang boleh,” katanya.

Graduan kelahiran Kuala Lumpur ini juga merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti kesukarelawanan.

Beliau pernah terlibat dengan beberapa projek antaranya di Kemboja dengan memberikan bantuan dalam bentuk pemeriksaan kesihatan.

“Di peringkat kebangsaan, saya banyak menyertai projek khidmat bakti siswa ke perkampungan Orang Asli, antaranya di Hulu Langat Selangor, Royal Belum Perak, Kuala Lipis dan Muadzam Shah Pahang.

“Saya juga menyertai program melibatkan orang kurang bernasib baik seperti memberi makanan kepada gelandangan dan membuat lawatan ke rumah orang tua.

“Saya berminat dengan aktiviti khidmat masyarakat kerana apabila saya pergi ke tempat yang serba kekurangan, saya bandingkan dengan kesenangan diri yang ada serta lebih bersyukur atas rezeki yang tuhan berikan.

“Perasan memberi bantuan kepada orang lain berasa sangat puas kerana dapat memberi jasa balik kepada orang lain walaupun penatnya belajar jurusan perubatan ini,” tambahnya.

Selain mengekalkan pencapaian akademik yang baik beliau tidak pernah gagal modul sepanjang lima tahun pengajian dan lulus Ijazah Doktor Perubatan dengan cemerlang.

Beliau kini sedang berkhidmat sebagai pembantu penyelidik di Hospital Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sementara menunggu penempatan sebagai Pegawai Perubatan.

Leave a Reply