Koperasi UNIKEB Berhad, Koperasi Terbaik Univesiti Awam

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman dan Shiddan Saidi

BANGI, 19 Oktober 2022 – Koperasi Universiti Kebangsaan Malaysia (Koperasi UNIKEB Berhad) menjadi koperasi terbaik koperasi Universiti Awam di seluruh Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata daripada 20 Universiti Awam, hanya 14 universiti sahaja yang mempunyai koperasi sendiri manakala selebihnya tidak mempunyai koperasi, dan koperasi UKM berada di tangga teratas.

“Kita akan tubuhkan satu federasi khusus untuk kita nak letak kopersi-koperasi yang ada di IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam) dan IPTS (Institusi Pengajian Tinggi Swasta) di bawah satu federasi, supaya kita dapat buat penyelarasan koperasi-koperasi ini.

“Sebagai contoh koperasi UKM ini merupakan koperasi yang ke-14 terbaik daripada 100 koperasi di Malaysia. Dari itu kita percaya, kalau kita bantu, kita susun lebih baik lagi melalui federasi nanti, mungkin akan banyak lagi koperasi di IPTA dan IPTS akan dapat capai kejayaan seperti mana yg kita harapkan,” katanya semasa Sidang Media Program Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa (JMKMSiswa) di sini, hari ini.

Beliau berkata koperasi UKM boleh dijadikan contoh terbaik kepada koperasi-koperasi universiti lain.

“Jadi mungkin mereka (koperasi-koprasi IPT) boleh bertukar fikiran dan berbincang mengapa koperasi UKM boleh mendapat tempat ke 14 terbaik daripada koperasi-koperasi yang ada dalam negara kita ini. Dalam kalangan IPTA pula, koperasi UKM berada dalam kedudukan pertama,” katanya lagi.

Berkenaan program JMKMSiswa, beliau berkata idea itu tercetus selepas melihat maklum balas yang fositif dari program Jualan Murah Keluarag Malaysia (JMKM) yang telah dilaksanakan pada bulan Ogos lepas.

“Memandangkan kejayaan JMKM, jadi kita telah berbincang untuk meluaskan program ini dalam kalangan mahasiswa, lebih-lebih lagi sekarang ini pelajar telah pulang ke kampus.

“Jadi sebab itu kita lancarkan program JMKMSiswa hari ini. Program ini akan berlangsung bermula hari ini sehingga Disember ini dan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta untuk melaksanakan program ini.

“Melalui program JMKMSiswa, kita akan memberikan jualan murah, iaitu lebih 20 peratus potongan harga daripada harga pasara,” katanya.

Pada majlis itu, Tan Sri Noh turut menyampaikan Peranti Siswa kepada 30 pelajar UKM yang terpilih dari keluarga B40.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Timbalan KSU Kementerian Pengajian Tinggi (Dasar) Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh dan  Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan serta pengurusan tertinggi UKM.

Leave a Reply