HCTM Sambut Jubli Perak, Lakar Banyak Kejayaan

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim & Izwan Azman

CHERAS, 18 Oktober 2022 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyambut ulangtahun ke-25 iaitu sambutan Jubli Perak dengan penuh lakaran kejayaan.

Sejak 25 tahun ditubuhkan, HCTM telah berkembang menjadi sebuah hospital pengajar di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang telah melahirkan ratusan pakar perubatan di dalam dan di luar negara.

Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM dan Wad Tuanku Canselor yang diadakan hari ini telah disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM.

Turut berangkat ke majlis itu ialah DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

Selain itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak, Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj Toriman, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pengurusan Tertinggi UKM turut hadir ke majlis yang penuh gilang gemilang.

Sementara itu, Dato’ Seri Abdul Razak dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan yang telah dilakar sepanjang tempoh 25 tahun penubuhan HCTM.

“Saya pasti kejayaan ini juga dapat melebarkan jaringan dengan pihak luar khasnya dalam bidang penyelidikan, pengajaran dan perkhidmatan bagi meningkatkan lagi prestasi HCTM setaraf dengan hospital pengajar yang hebat di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata antara kejayaan yang telah dicapai oleh HCTM adalah Advanced Surgical  Skills Centre (ASSC) yang menjadi pusat latihan kemahiran pembedahan pertama di luar United Kingdom telah menerima akreditasi dari The Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) bagi tempoh lima tahun iaitu sehingga April 2027.

Selain itu, katanya, Pusat Reproduktif Termaju menjadi Pusat Rujukan Onkofertiliti Pertama Malaysia menawarkan perkhidmatan pembekuan gamet dan tisu ovari kepada pesakit kanser.

“Sehingga kini, pusat ini telah melahirkan ramai pakar reproduktif di Malaysia dan antarabangsa kerana pusat ini turut berfungsi sebagai pusat latihan reproduktif,” katanya.

Dalam memberi perkhidamatan kepada komuniti, Dato’ Seri Abdul Razak berkata melalui program KPT-Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS), dengan dana yang disalurkan oleh KPT, HCTM telah melaksanakan 53 projek melibatkan aktiviti pemeriksaan kesihatan (klinik bergerak), termasuk melibatkan pakar turun ke komuniti.

“Malah, bagi membantu negara mempercepatkan proses pemberian vaksin Covid-19, HCTM turun bersama-sama ke beberapa negeri melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak dan menjadi Hospital Pengajar yang pertama melaksanakan PPV Pandu Lalu kepada masyarakat umum,” ujarnya.

Beliau berkata KPT mengucapkan terima kasih kepada UKM kerana dengan peranan yang telah dimainkan secara langsung dalam membantu pihak kerajaan menawarkan perkhidmatan dan menaikkan taraf kesihatan.

“Pihak kementerian akan sentiasa menyokong usaha yang dibuat oleh HCTM UKM untuk mempertingkatkan kepelbagaian kaedah rawatan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

HCTM yang ditubuhkan pada 1 Julai 1997 merupakan sebuah hospital yang mempunyai 104 kepakaran dengan jumlah melebihi 200 orang pakar. Dalam aspek tenaga kerja, HCTM pada masa ini mempunyai 3,920 kakitangan, 1,054 katil pesakit aktif, 12 klinik pakar, lima pusat jagaan harian, 47 wad, 27 dewan bedah dan tujuh pusat kecemerlangan penyelidikan. Sepanjang pengoperasian ini, HCTM telah merawat lebih 6.5 juta pesakit dengan purata tahunan adalah seramai 212,720 pesakit.

Leave a Reply