KPT Peruntukkan RM53 Juta kepada UKM Naiktaraf Fasiliti Kesihatan

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

CHERAS, 1 November 2023 – Kementerian Pendidikan Tinggi memperuntukan sebanyak RM53 juta bagi menaiktaraf pelbagai peralatan perubatan di pusat perkhidmatan kesihatan  Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah rancangan Malaysia Ke-12.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan besar ini termasuk pembelian alat Angiografi Biplane di Jabatan Radiologi dan alat Fluroskopi di Pusat

Perkhidmatan Endoskopi yang kedua-duanya bernilai RM9.2 juta.

Selain itu, katanya peruntukan tersebut juga bertujuan menggantikan alat usang di beberapa tempat seperti Perkhidmatan Radiologi, Perkhidmatan Dewan Bedah, Perkhidmatan Endoskopi dan Perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi.

“Saya yakin, hasil peruntukan yang besar ini akan membolehkan penggunaan peralatan perubatan berteknologi terkini dan canggih sekali gus meningkatkan tahap dan kualiti perkhidmatan rawatan di hospital ini,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mewakili beliau ke Majlis Perasmian Peralatan Perubatan RMK-12 HCTM UKM, di sini.

Beliau berkata sebagai salah sebuah Hospital Pengajar yang telah beroperasi selama 26 tahun, sudah pasti pelbagai kemudahan, fasiliti dan peralatan yang diguna pakai selama ini memerlukan penaiktarafan, penggantian serta pembaharuan.

“Atas kesedaran itulah, KPT sangat berbesar hati menyokong perancangan peningkatan keupayaan melalui penambahan alat canggih yang sebahagiannya bertujuan menggantikan alat yang telah usang ini.

“Kita sedar, ini adalah satu keperluan yang tidak boleh dielakkan, lebih-lebih lagi bagi pihak KPT, kualiti dan mutu ekosistem pengajian perubatan dan kecekapan perkhidmatan yang HPU tawarkan kepada orang awam tidak boleh dikompromikan sama sekali,” katanya.

Beliau berkata KPT memahami, disebabkan jumlah pesakit yang semakin meningkat,

keupayaan hospital yang terhad dan keadaan peralatan yang semakin usang, maka satu usaha memperbaharui dan menaiktaraf peralatan ini menjadi sangat mendesak.

“Lebih penting, biarpun terdapat beberapa kekurangan dari segi peralatan dan kemudahan, HCTM tidak pernah mengabaikan kualiti perkhidmatan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM komited untuk memberikan perawatan kesihatan kepada pesakit dengan lebih efisien dan berkesan dengan mengguna pakai fasiliti peralatan perubatan yang terkini serta berprestasi tinggi.

“Terima kasih kepada KPT yang sentiasa cakna dan mengambil berat mengenai pembangunan fasiliti secara khususnya di setiap HPU termasuk di HCTM. “Dengan adanya peralatan terkini ini, diharapkan HCTM akan terus cemerlang dan menjadi pusat rujukan utama dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Leave a Reply