MAIWP Serah Batuan Sewa Kediaman kepada 3,327 Pelajar di Empat Universiti di Wilayah Persekutuan

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 3 November 2023 – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan Bantuan Sewa Kediaman Mahasiswa kepada 3,327 orang pelajar di empat universiti di Wilayah Persekutuan dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM3.99 Juta. 

Bantuan itu diberikan kepada seramai 1,227 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UKM Kampus KL) dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 juta, 400 orang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan jumlah RM480,000, 700 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) dengan jumlah RM840,000 dan seramai 1,000 orang pelajar Universiti Malaya Kuala Lumpur (UMKL) dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.2 juta. 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau amat gembira melihat kolaborasi antara pihak MAIWP dan Universiti di Kuala Lumpur yang telah sedia terjalin dengan pelbagai program bagi membantu para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi.

“Pesan saya untuk semua (pelajar), diharapkan dengan bantuan yang disalurkan ini, anda semua dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana pendidikan adalah nadi perubahan.

“Pendidikan mampu menjana kehidupan yang lebih baik kepada setiap orang. Melalui pendidikan, insya-Allah kita boleh menoktahkan kemiskinan. 

“Semoga pelajar-pelajar kita akan menjadi pelajar yang menguasai ilmu serta memiliki sahsiah tinggi”, katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Bantuan Sewa Kediaman Mahasiswa Universiti Awam Wilayah Persekutuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), yang diadakan di Dewan Tun Syed Nasir, UKM Kampus KL. 

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman mengucapkan terima kasih kepada pihak MAIWP  atas bantuan yang diberikan kepada mahasiswa. 

Beliau berkata bagi memperluaskan insiatif ini, UKM termasuk universiti awam yang lain amat memerlukan bantuan dari pelbagai pihak termasuk inisiatif yang diambil oleh pihak MAIWP dalam memberi sumbangan dan bantuan kepada mahasiswa di sekitar Wilayah Persekutuan, bukan sahaja kepada pelajar UKM, tetapi juga kepada pelajar UM, UTM dan UPNM.

“Saya yakin bantuan yang disampaikan ini secara tidak langsung akan dapat membantu pelajar dalam meningkatkan kualiti pembelajaran sepanjang pengajian mereka di universiti masing-masing,” katanya. 

Dalam majlis ini juga, turut disampaikan Bantuan Mesin Penapis Air kepada 12 buah Kolej Kediaman UKM dengan jumlah sebanyak RM50,000 yang disalurkan oleh Yayasan Taqwa – MAIWP.

Leave a Reply