Kursi Tun Dr Ismail di KITA UKM Tumpu Penyelidikan Perpaduan

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

Kuala Lumpur, 3 Ogos 2023 – Penubuhan Kursi Tun Dr. Ismail di Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal memberi tumpuan kepada penyelidikan berdasarkan perpaduan dalam usaha untuk mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan perpaduan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan kursi ini melalui satu kenyataan media pada majlis memperingati tokoh negarawan, Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak perpaduan Negara, sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, di Dataran Merdeka, semalam.

Tambahnya, usaha dan pengiktirafan itu bertujuan memberi ruang kepada generasi muda dan penerus untuk menyemangati sumbangan pahlawan bangsa dan negarawan ulung, Tun Dr. Ismail Al-Haj dalam aspek perpaduan dan penyatuan kaum.

Naib Canselor UKM, Prof Dato Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata penubuhan kursi ini bakal menjadi penanda aras yang penting dalam meneliti penyelidikan mengenai perpaduan dan masyarakat.

“Kursi ini turut menjadi teras bagi menyelaras operasi penyelidikan merentasi disiplin dan fakulti dan ia boleh menjadi hab kepada penyelidikan berteraskan perpaduan pada peringkat Institusi Pengajian Tinggi.

“Di peringkat antarabangsa pula, ia akan menyerlahkan keunikan Malaysia yang sering dirujuk sebagai sebuah negara pelbagai bangsa, budaya dan agama yang berupaya mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian dan berkeadaan aman.

“Penubuhan kursi ini juga menjadi kunci ke arah pengumpulan bahan-bahan kajian, penerbitan, dan filem yang berbentuk analog dan digital bagi membina koleksi perpaduan setara dengan koleksi Asia Tenggara di Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM,” katanya.

Tambahnya, UKM sentiasa bersedia dan komited dalam melaksanakan inisiatif yang mampu memberi impak kepada masyarakat selari dengan aspirasi yang digagaskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Menyahut saranan Menteri KPT Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, UKM sentiasa proaktif dalam menjuarai pelbagai perkara dan isu yang melibatkan pemerkasaan negara bangsa dan pembentukan tamadun madani, sejajar dengan bidang tujahannya yang bersifat kebangsaan.

“Diharapkan kursi ini dapat memperkasa agenda penyelidikan, terutama dalam konteks perpaduan yang akan menjadi asas jati diri kebangsaan, bukan sahaja dalam kalangan warga universiti, tetapi juga semua lapisan masyarakat di negara ini,” katanya.

Tambahnya, kursi ini bakal memainkan peranan dalam meluaskan naratif baharu perpaduan menerusi tiga asas utama pengurusan ilmu dan inovasi iaitu melalui akademik analisis, penglibatan profesional dan advokasi awam.

“Ini bermakna kajian perpaduan yang terkini merentasi pelbagai disiplin ilmu dengan gandingan sektor awam, swasta dan komuniti akan dapat diperluas dan dikongsi melalui pelbagai wahana media dan penerbitan,” katanya.

Mohd Ekhwan menjelaskan bahawa kewujudan kursi tersebut di KITA adalah tepat pada masanya, selari dengan usaha kerajaan bagi memperkasa agenda perpaduan negara.

Menurutnya, KITA telah terlibat secara langsung, aktif dan berterusan dalam konteks Perpaduan menerusi Kementerian Perpaduan Negara.

“Kerjasama ini telah terjalin erat sejak penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (2013) dan KITA telah membantu membina kerangka Pelan Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatupaduan (2015) dengan memperkenalkan konsep tiga serangkai iaitu perpaduan yang diidamkan, kesepaduan yang dicapai, penyatupaduan yang diusahakan. “Justeru, penubuhan Kursi Tun Dr. Ismail yang memfokus kepada penyelidikan perpaduan berada tepat dan sesuai dengan pengalaman, kemahiran, dan kekuatan KITA,” katanya.

Leave a Reply