Warga UKM Perlu Dalami Erti Sebenar Kemerdekaan – Naib Canselor

Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Muhammad Izwan Azman

BANGI, 2 Ogos 2023 – Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman menyeru agar seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil peluang dan ruang untuk mendalami erti sebenar kemerdekaan agar semangat patriotisme dan cintakan tanah air dapat disemarakkan dalam diri masing-masing.

Beliau berkata dengan semangat patriotisme itu, sudah pasti seluruh warga akan sentiasa menghargai pengorbanan dan perjuangan para pejuang dan pengasas negara yang telah menumpahkan seluruh kesetiaan, darah dan air mata untuk mendirikan sebuah negara Malaysia.

“Begitu jugalah halnya dalam kita menghargai perjuangan para pengasas dan pemimpin UKM yang terdahulu dalam membangunkan universiti ini, seperti hari ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat UKM 2023, di sini.

Beliau berkata sikap saling menghormati dan meraikan pendapat juga akan menghasilkan keharmonian dalam kalangan warga dan ia akan menjadi titik tolak kepada kejayaan buat seluruh warga UKM.

“Menurut Pendeta Za’ba, kemerdekaan yang sebenar adalah kebebasan minda dan jiwa yang disuburkan menerusi pemerkasaan jati diri, yang dibentuk oleh empat aspek utama iaitu agama, bahasa, pendidikan dan akhlak.

“Aspek ini juga adalah selari dengan falsafah UKM yang memacu perkembangan ilmu dan pembangunan pendidikan bersandarkan kepada panduan ilmu dan keimanan,” katanya.

Tambah beliau, perkongsian kefahaman jati diri juga membolehkan warga UKM secara kolektif merealisasikan agenda perpaduan masyarakat, sederap dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi. 

“Jati diri yang kental dan utuh membentuk keperibadian mulia, sifat toleransi serta nilai kesepakatan yang dapat membantu semua warga UKM meningkatkan keupayaan diri dalam menyusuri cabaran hidup,” ujar beliau.

Tambah Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan, melalui tema kemerdekaan pada tahun ini iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, usaha memperkukuhkan nilai keagamaan, memartabatkan budaya bangsa, bersatu padu serta hidup dengan aman dan sejahtera dapat disuntik dalam kalangan warga UKM.

“Saya berharap agar warga kampus akan terus mengukuhkan ikatan persaudaraan yang mantap dan  hormat menghormati antara satu sama lain.

“Persaudaraan dan perpaduan ini juga perlu disemai sentiasa, demi memastikan semangat ini dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.

Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat UKM yang diadakan di Persada Canselori disambut sederhana namun meriah dengan semangat patriotisme warga UKM dari kampus Bangi dan Kuala Lumpur yang menyanyikan lagu-lagu kebangsaan dan kibaran jalur gemilang.

Leave a Reply