Lawatan FST ke SPRM Beri Pendedahan Mesej Anti Rasuah

Oleh Ts Dr Idris Zulkifle
Foto oleh Fakulti Sains dan Teknologi

PUTRAJAYA, 5 Mac 2024 – Seramai 39 orang staf dari Unit Fizik, Sekretariat Makmal dan Instrumentasi, Fakulti Sains dan Teknologi telah berkunjung ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini bagi mendapatkan pendedahan mesej berkenaan anti rasuah di Malaysia.

Melalui lawatan integriti tersebut, semua peserta diberi taklimat berkenaan fungsi SPRM selain diberi peluang melawat bangunan SPRM termasuk konti radio MACC FM (My Anti-Corruption Channel).

Dalam sesi perkongsian ilmu, pegawai SPRM, PKPj Tuan Samsul Salip telah berkongsi pengalaman beliau sebagai pegawai penyiasat berkenaan kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan oleh penjawat awam dan masyarakat luar.

Beliau sangat menekankan agar penjawat awam perlu lebih berhati-hati dalam menerima hadiah.

“Amalan memberi dan menerima hadiah daripada pembekal telah menjadi kebiasaan yang sangat meluas dalam kalangan masyarakat masa ini. Hadiah boleh menjadi rasuah sekiranya pemberi dan penerima mempunyai hubungan rasmi serta mampu mempengaruhi keputusan yang dibuat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata langkah yang terbaik berkenaan pemberian hadiah adalah menolak atau memaklumkan kepada ketua jabatan.

Beliau juga berkongsi peranan yang dijalankan oleh pihak SPRM iaitu mengesan dan menyiasat apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 selain mendidik orang ramai untuk menentang rasuah.

Selain itu, beliau yang mewakili pihak SPRM sangat menggalakkan lawatan sebegini daripada orang awam sama ada dari agensi kerajaan atau swasta dalam berkongsi  ilmu kepada masyarakat dan memupuk sikap integriti yang tinggi dalam tugasan.

“Platform lawatan seperti ini perlu dimanfaatkan oleh semua bagi menimbulkan kesedaran mengenai ancaman rasuah.

“Semoga input yang dikongsikan sepanjang lawatan ke SPRM ini dapat memberikan ilmu baru kepada para peserta serta meningkatkan integriti dalam melaksanakan tugasan harian,” katanya.

Lawatan yang diketuai oleh Ts Dr Idris Zulkifle disambut oleh Ketua Penolong Kanan Penguasa SPRM, Mohd Rajib Adam.

Leave a Reply