Alumni UKM disaran Beri Sumbangan untuk Tabung Alumni

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 1 Mac 2024 – Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disaran untuk membuat potongan gaji untuk tabung alumni bagi membantu membantu proses pembangunan Kompleks Alumni dan kebajikan pelajar.

Pengerusi Lembaga Pegarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak berkata beliau amat berbangga melihat para alumni dapat menabur bakti semula ke alma mater dan memainkan peranan yang penting dalam membangunkan universiti watan ini.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada alumni dalaman yang telah membuat potongan gaji kepada Tabung Kompleks Alumni ini.

“Saya juga menyeru agar lebih ramai lagi alumni dalaman dapat membuat potongan gaji ataupun menyumbang semula dalam pelbagai bentuk bagi menyokong inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh universiti ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Hi-Tea Alumni Dalaman UKM Siri 1, di sini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para alumni yang telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM1.7 juta bagi membolehkan Kompleks Alumni UKM dibina.

“Kompleks ini dijangka akan siap sepenuhnya pada Mac 2024 ini dan ia merupakan lambang kesatuan jiwa alumni yang menyumbang semula kepada universiti dengan hasrat agar hubungan dua hala ini akan kekal utuh demi kecemerlangan universiti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Dr. Roslan Ja’afar dalam ucapannya menyeru rakan-rakan alumni dalaman untuk bersama dalam inisiatif sumbangan dalam pelbagai bentuk agar stakeholder terutama para pelajar mendapat manfaat dari sumbangan yang dilakukan.

“Pusat perhubungan Alumni telah mengambil beberapa inisiatif dalam membentuk ekosistem alumni yang saling menyokong.

“Kita telah menggerakkan inisiatif sumbangan alumni dalaman melalui pemotongan gaji secara sukarela ke Tabung Kebajikan Pelajar yang mana sumbangan dari para alumni ini akan membantu untuk aktiviti kebajikan, pembangunan dan pendidikan kepada semua pelajar.

“Sumbangan kita, walau sekecil mana pun, mempunyai impak yang besar,” katanya.

Pusat perhubungan Alumni turut memperkenalkan inisiatif Projek Tajaan Yuran Kediaman Pelajar bagi menaja yuran penginapan pelajar B40 yang menginap di kolej-kolej kediaman.

Kini terdapat seramai 9,314 pelajar prasiswazah daripada golongan B40 yang sedang menuntut di UKM dan sumbangan bantuan tajaan bilik kediaman ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi manfaat kepada pelajar.

Sehingga kini, UKM telah berjaya menghasilkan 229,452 alumni dan 2,378 alumni daripadanya sedang berkhidmat di UKM dalam pelbagai peringkat jawatan.

Leave a Reply