Mahasiswa UKM-GSB Kumpul Dana RM15,000 Jayakan Program CSR Bagi Pemuliharaan Beruang Madu

Berita dan foto oleh Muhammad Amiruddin Roselan (UKM-GSB)

SEPILOK, 25 Ogos 2023 – Lapan orang mahasiswa Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) berjaya mengumpul dana sebanyak RM15,000 sebagai inisiatif pemuliharaan beruang madu (Sun Bear).

Jumlah itu adalah sumbangan daripada FGV sebanyak RM10,000 dan RM5,000 sumbangan dari FELDA.

Kumpulan mahasiswa yang dikenali sebagai The Red Heroes melakukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama 40 sukarelawan yang lain bagi memulihara Sun Bear di Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC), Sepilok, Sandakan, Sabah pada 19 Ogos lepas.

Hasil dana tersebut telah diserahkan kepada pihak BSBCC bagi menampung kos operasi dan penyelidikan. Kos aktiviti kesukarelawan di BSBCC juga ditampung oleh pelbagai agensi yang lain seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad serta dana orang ramai dalam bentuk tunai dan bukan tunai.

Program CSR itu diadakan bagi mewujudkan kesedaran orang awam terhadap pemuliharaan dan perlindungan Sun Bear dari spesis Helarctos Malayanas yang merupakan salah satu spesies unik di Asia Tenggara yang semakin terancam.

Majlis penyerahan dana sumbangan dan aktiviti CSR tersebut dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Alesia Sion, yang mewakili Setiausaha Tetap Kementerian itu, Datuk Sr. Mohd Yusrie Abdullah.

Program tersebut turut mendapat perhatian dan kerjasama daripada United Nations Sustainable Development Solutions Network, Asia Headquarters, hosted by Sunway University (UN SDSN ASIA HQ) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah (KePKAS). Sebagai salah sebuah universiti penyelidikan yang terkemuka di Malaysia, UKM bukan sahaja komited dalam menyediakan pendidikan dan pengajaran yang berkualiti, malah turut memainkan peranan penting dalam menyokong negara mencapai matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Sustainability Development Goals).

Leave a Reply