Alumni UKM Kumpul Lebih RM32,000 Naik Taraf Fasiliti di Penjara Wanita Kajang

Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Ahmad Shahiddan Saidi

BANGI, 24 Ogos 2023 – Alumni UKM yang terdiri daripada Alumni Sarjana Pentadbiran Perniagaan (UKM-GSB) dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni UKM telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM32,889.75 untuk menaik taraf kemudahan fasiliti di Penjara Wanita Kajang melalui projek Cradle for Inclusive Nurturing and Teaching Atmosphere (C.I.N.T.A CARE). 

Projek C.I.N.T.A CARE merupakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan bagi membantu pihak penjara dalam memenuhi keperluan anak-anak yang dilahirkan oleh penghuni penjara tersebut sehingga usia 3 tahun.

Projek ini merupakan kesinambungan daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh kumpulan alumni tersebut pada awal tahun ini yang fokus kepada penambahbaikan peralatan dan kemudahan di Seksyen Pembuatan Kek dan Biskut, Penjara Wanita Kajang.

Penyerahan Projek C.I.N.T.A CARE kepada Penjara Wanita Kajang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak kepada Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan), Jabatan Penjara Malaysia, Abd. Kadir Rais. 

Pada masa ini terdapat lima orang kanak-kanak di C.I.N.T.A CARE Penjara Wanita Kajang dan mereka akan dibenarkan untuk bersama ibu mereka sehingga mencecah umur tiga tahun. Kanak-kanak ini kemudiannya akan diserahkan kepada waris banduan dan bagi yang tiada waris akan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM dalam ucapannya berkata, kerjasama UKM bersama Jabatan Penjara Malaysia akan diteruskan bukan sahaja menerusi projek C.I.N.T.A CARE namun menerusi pelbagai inisiatif lain. 

Beliau turut menekankan kepentingan perkembangan anak pada peringkat awal dan berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh kumpulan alumni tersebut yang menunjukkan keprihatinan alumni UKM terhadap masyarakat.

Antara pihak tajaan yang terlibat sama dalam projek C.I.N.T.A CARE adalah, Pembinaan Tetap Teguh Sdn. Bhd., Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS), Tetuan Nik Ikhwan & Co., Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, HD Glory Mineral Enterprise, Gagah Setia Kinta Enterprise, Babymama Trading Sdn Bhd. Dana itu juga turut melibatkan sumbangan individu dan orang perseorangan. Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil dan Pengarah ALUMNI-UKM, Dr. Roslan Ja’afar serta barisan penaja.

Leave a Reply