Masjid Universiti Terima Tujuh Buah Penyejuk Udara

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 9 Mac 2024 – Sebanyak tujuh buah penyejuk udara (air cooler) telah diserahkan kepada Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hasil dari dana infak bagi kegunaan program keagamaan, pengajian dan keilmuan.

Menurut Pengarah Pusat Islam, Dr. Wan Haslan Khairuddin penyejuk udara ini merupakan inisiatif Pendaftar, Dato’ Dr. Syed Kamarudin Sadakkuthulla yang telah berjaya mengumpulkan dana infak berjumlah RM13,313.

“Sumbangan ini adalah daripada para penderma yang terdiri daripada pengurusan tertinggi, alumni, warga UKM yang telah bersara dan rakan strategik universiti.

“Sumbangan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengunjung masjid terutama sekali pada bulan Ramadan seperti majlis berbuka puasa, tadarus al-quran dan tazkirah zohor,” katanya.

Tambahnya, kerja menaiktaraf infrastruktur dan fasiliti Masjid UKM ini telah menelan kos sebanyak RM450,000 dengan menggunakan wang zakat sebanyak RM100,000, Pusat Islam RM150,000 dan peruntukan universiti sebanyak RM200,000.

Majlis yang sama turut menyaksikan perasmian Bilik Mesyuarat dan penaiktarafan sistem siar raya masjid, serta pelancaran Tabung Sumbangan Infrastruktur Masjid UKM.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak diiringi oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman.

Naib Canselor mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis ringkas pada hari ini dan beliau berharap agar kemudahan yang disediakan dapat memberi manfaat kepada semua khasnya para jemaah di masjid UKM.

Leave a Reply